Harimau Malaya, China sama kuat di Chengdu
SKUAD bola sepak negara mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan persahabatan sepanjang tahun ini selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang China di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, pada Sabtu.
Skuad kendalian Kim Pan-gon tampil garang dengan motivasi tinggi selepas mengikat pasukan ranking ke-94 dunia, Syria 2-2 di Stadium East-Town Football Park, Chengdu, Rabu lalu.
Pemain lincah Selangor FC, Faisal Halim terlebih dahulu meletakkan Harimau Malaya di depan pada minit ke-11 selepas menyudahkan hantaran pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid.
Dragon Team yang tersentak dengan jaringan tersebut kembali memperkemaskan rentak mula mengasak benteng Harimau Malaya bagi menyamakan kedudukan.
Gol dicari pasukan tuan rumah akhirnya menjelma setengah jam kemudian selepas rembatan deras Lin Liangming minit ke-36 gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed.
Dua keputusan positif dilakar Harimau Malaya ke atas pasukan ranking bawah 100 dunia dalam aksi persahabatan terbaharu boleh disifatkan petanda baik bagi cabaran ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
Angkatan Pan-gon akan meneruskan fasa persediaan pusingan akhir Piala Asia, dengan saingan Pestabola Merdeka yang dijadualkan berlangsung melibatkan negara India, Palestin dan Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 hingga 17 Oktober depan.
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya akan berdepan tiga pasukan teratas ranking 100 dunia apabila diundi dalam Kumpulan E Piala Asia 2023.
Malaysia diundi bersama Korea Selatan yang kini berada di ranking ke-27 dunia Jordan (84) dan Bahrain (85) yang dijadualkan berlangsung di Doha, Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!