Aaron-Wooi Yik singkir juara dunia
BEREGU utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini selangkah lagi bergelar meraih gelaran sulung saingan Jelajah Dunia BWF selepas menempah tiket final Terbuka China sebentar tadi.
Tampil selaku pilihan keempat kejohanan, Aaron-Wooi Yik berjaya menewaskan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Ming Hyuk-Seo Seung Jae 21-18, 21-17 dalam aksi separuh akhir di Gimnasium Pusat Olimpik di Changzhou.
Kejayaan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia edisi 2022 berjaya membalas dendam ke atas Ming Hyuk-Seung Jae yang menewaskan mereka pada Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark bulan lalu.
Ketika itu, Aaron-Wooi Yik yang juga beregu keenam dunia terpaksa akur dengan kekalahan straight set 21-23, 13-21 dalam aksi separuh akhir.
Untuk rekod rekod, Aaron-Wooi Yik berjaya dua kali melangkah ke pentas final tahun ini - Terbuka India dan Terbuka Indonesia, namun sekadar meraih gelaran naib juara.
Dalam aksi final pada Ahad, Aaron-Wooi Yik bakal membuat perhitungan dengan wakil tuan rumah yang juga pilihan ketiga kejohanan, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Jika muncul juara, Aaron-Wooi Yik bakal mengikut jejak langkah legenda negara, Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif Sidek yang muncul satu-satunya beregu lelaki negara menjuarai Terbuka China pada edisi 1989.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!