Isu beras berpunca akibat Tun M gagal ambil langkah tepat - Razeef
SHAH ALAM - Kegagalan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil langkah tepat dalam isu keterjaminan makanan dan infrastruktur asas ketika mentadbir negara pada ketika itu didakwa menjadi punca pelbagai masalah berkaitan beras di Malaysia.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Razeef Rakimin berkata, ini kerana ia meliputi perancangan dan kesan untuk tempoh 20 hingga 30 tahun mendatang.
“Sejak era pentadbiran (Dr) Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat, pembangkang telah menyatakan perlunya keseimbangan di antara pembangunan perindustrian dan pertanian.
“Ini setelah beberapa negara maju pada ketika itu terpaksa bergantung kepada bekalan import dan ini sangat merisaukan terutama untuk 20 ke 30 tahun mendatang. Apatah lagi harga bekalan yang diimport diluar bidang kuasa kerajaan untuk kawal.
“Kecenderungan Mahathir yang terlalu fokus kepada perindustrian dan pengabaian kepada sektor pertanian mulai dirasai kesannya terutama permasalahan memenuhi kehendak tempatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada 2 September lalu, Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) mengumumkan harga beras putih import meningkat 36 peratus iaitu daripada RM2,350 kepada RM3,200 satu tan metrik berkuat kuasa 1 September.
Bernas dalam kenyataan berkata, harga baharu itu meningkat sebanyak RM850 satu tan metrik atau 85 sen sekilogram.
Menurutnya, pelarasan itu adalah selari dengan harga global semasa bagi ruji makanan.
Sementara itu, Razeef menegaskan, kenaikan harga beras itu berlaku bukan disebabkan kegagalan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bagi saya ini merupakan isu global dan bukannya kegagalan pihak kerajaan. Malah harga bahan mentah di negara ini antara terendah jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN lain.
“Di sebalik krisis ini kerajaan masih mampu mengawal harga bekalan selain memastikan ianya mencukupi.
"Saya yakin kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di landasan tepat membawa negara keluar dari pelbagai krisis termasuk krisis bekalan makanan dan krisis ekonomi global,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!