Kemenangan PH-BN pengiktirafan kepada Kerajaan Perpaduan

Suhaizan melambaikan tangan sebaik diumumkan kemenangan pada PRK P161 Parlimen Pulai di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim hari ini. - Foto Bernama
Suhaizan melambaikan tangan sebaik diumumkan kemenangan pada PRK P161 Parlimen Pulai di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kayat menyifatkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai pada Sabtu sebagai pengiktirafan terhadap kerjasama parti-parti politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata, kemenangan tersebut juga menggambarkan Kerajaan Perpaduan diterima baik di negeri ini.

"Dengan majoriti Lebih 18,000, ini adalah satu majoriti meyakinkan kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kalau dibandingkan majoriti yang lepas ini PRK sekitar 47 peratus (peratusan keluar mengundi). Ini adalah majoriti yang meyakinkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas diumumkan menang PRK Parlimen Pulai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini pada malam Sabtu.

Suhaizan menang dengan majoriti 18,641 undi selepas mendapat keseluruhan 48,283 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar (28,642 undi) dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi (528 undi).

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, kemenangan tersebut juga adalah hasil kerjasama erat antara jentera PH dan BN termasuk dibantu media serta semua pihak terlibat.

"Syukur Kerajaan Perpaduan diberikan kemenangan di Parlimen Pulai. Saya menginsafi ini adalah satu amanah daripada ALLAH atas saya dan seterusnya saya ucap terima kasih kepada semua pengundi yang beri kepercayaan kepada saya untuk jadi Ahli Parlimen Pulai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua jentera pilihan raya yang bertungkus lumus membantu kemenangannya sejak awal berkempen sehingga menang.

"Ini sangat penting kerana dalam PRK Pulai ini kita adakan hubungan yang sangat erat dan kerjasama setiap hari dipimpin pemimpin besar daripada PH dan BN bagi kemenangan ini," ujar beliau.

Berkenaan peratusan pengundi yang rendah pada PRK itu, beliau berkata, antara faktor yang mempengaruhi keadaan tersebut kerana sebahagian pengundi tidak maklum berkenaan PRK tersebut atau kurang berminat.

Selain itu katanya, faktor hujan lebat pada sebelah pagi juga mempengaruhi pengundi untuk tidak turun mengundi.

Ditanya tugas pertama yang akan dilakukan selepas bergelar wakil rakyat, Suhaizan berkata, beliau akan memohon peruntukan di Parlimen Pulai yang sebelum ini dibekukan dan berusaha menyelesaikan masalah rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!