Tidak mungkin saya menang tanpa kerjasama PH-BN - Nazri

Nazri meraikan kemenangan bersama penyokong PH-BN selepas pengumuman keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil N13 DUN Simpang Jeram di Dewan Jubli Intan Sultan Ibraham, Muar malam ini. - Foto Bernama
Nazri meraikan kemenangan bersama penyokong PH-BN selepas pengumuman keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil N13 DUN Simpang Jeram di Dewan Jubli Intan Sultan Ibraham, Muar malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Calon Pakatan Harapan (PH), Nazri Abdul Rahman yang baharu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yakin kemenangannya adalah bukti kerjasama Kerajaan Perpaduan antara PH dan Barisan Nasional (BN) diterima oleh rakyat.

Beliau berkata, ia sekali gus mematikan stigma kononnya kerjasama itu ditolak dan berlaku usaha untuk memboikot bagi memastikan kekalahan Kerajaan Perpaduan.

“Bagi saya ini bukan kemenangan saya seorang, sebaliknya adalah gabungan antara PH dan juga BN yang mana saya juga mengucapkan terima kasih kepada barisan jentera kedua-dua gabungan parti ini.

“Tanpa kerja keras atas kerjasama ini, tidak mungkin saya akan dapat meraikan kemenangan ini dan ini bukan kemenangan saya seorang, tetapi semua (PH-BN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman kemenangan bagi DUN Simpang Jeram yang memihak kepadanya dengan majoriti 3,514 di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar

Nazri yang juga seorang jurutera meraih 13,844 undi menewaskan pakar bedah, Dr Mohd Mazri Yahya yang meraih 10,330 undi manakala calon Bebas S.Jeganathan hanya mendapat 331 undi.

Mengulas lanjut Nazri berkata, beliau juga meletakkan tekad untuk memastikan semua janji yang ditawarkan kepada pengundi sepanjang tempoh 14 hari berkempen akan dapat ditunaikan sesegera mungkin.

“Insya-ALLAH apabila saya diberi mandat ini beberapa janji pilihan raya akan cuba saya penuhi secara keseluruhannya dalam tempoh sepenggal ini

Artikel Berkaitan:

“Saya akan berjumpa dengan pengundi juga untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang mana tanpa sokongan mereka, siapalah saya dan tidak akan dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” ujarnya.

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada dua pencabarnya dan memohon kerjasama mereka untuk membantu membangunkan DUN Simpang Jeram ini.

“Mereka semua adalah sahabat saya dan saya mohon mereka pun bekerjasama dengan saya sepanjang satu penggal ini,” tambahnya. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!