PN gesa Speaker tak tunduk desakan tolak bahas keputusan kes Zahid
SHAH ALAM - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul digesa agar tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak termasuk kerajaan untuk tidak membahaskan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan yang dihadapinya.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak untuk Parlimen membahaskan perkara itu adalah tindakan yang melanggar undang-undang dan penyalahgunaan kuasa.
Menurutnya, meskipun sebagai Ketua Majlis Parlimen, Anwar tidak mempunyai sebarang kuasa atau hak untuk menentukan atau memutuskan berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat sekiranya terdapat usul yang dikemukakan untuk membahaskan perkara tersebut.
"Sebaliknya penerimaan atau penolakan usul sedemikian berada dalam bidang kuasa dan budi bicara Yang Dipertua Dewan atau Speaker semata-mata.
"Di sini jelas bahawa Perdana Menteri telah membuat kenyataan yang melampaui bidang kuasa dan peranannya sebagai Ketua Majlis dengan mendahului keputusan yang sepatutnya dibuat oleh Yang Dipertua Dewan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Anwar dilapor berkata, keputusan mahkamah terhadap Presiden UMNO itu tidak boleh dibahas dalam sidang khas Parlimen.
Ini kerana, Dewan Rakyat bukan mahkamah untuk membahaskan keputusan yang sudah ditetapkan hakim dan semua pihak perlu memahami konsep pengasingan kuasa.
Mengulas perkara itu, Takiyuddin bagaimanapun berkata, bagi isu yang dipertikaikan oleh banyak pihak, persoalan sub judice tidak timbul kerana kes tersebut telah pun berakhir.
Sebaliknya ujar beliau, keputusan pihak pendakwaan yang membawa kepada penghakiman DNAA tersebut perlu diteliti dan diperiksa oleh Parlimen kerana ia berkait rapat dengan soal integriti dan kebolehpercayaan terhadap Jabatan Peguam Negara.
"Keperluan untuk kes berkenaan dibahaskan di Dewan Rakyat adalah mendesak memandangkan kesan besarnya di mata rakyat dan juga masyarakat antarabangsa," katanya.
Tambah beliau lagi, respon negatif, tidak puas hati dan terkejut banyak pihak, selain perbahasan dan komentar meluas dalam kalangan rakyat tentang keputusan itu juga jelas menunjukkan kepentingan ia dibahaskan.
"Maka jelaslah perkara ini sepatutnya boleh dibincangkan oleh orang ramai, apatah lagi oleh ahli Parlimen dalam forum rasmi berkepentingan awam di Dewan Rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!