Banyak pilihan buku, harga murah
SHAH ALAM - Banyak pilihan dan menepati bahan bacaan di peringkat sekolah menjadi daya tarikan orang ramai terutamanya ibu bapa ke Jualan Gudang Karangkraf 2023 bagi membeli buku untuk anak-anak mereka.
Guru, Saravanapriya Nadarajah, 43, berkata, kebanyakan buku dijual di situ memang selari dengan bahan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan guru-guru di dalam kelas.
Beliau memberi contoh buku aktiviti Komponen Sastera (Komsas) sama seperti yang digunakan oleh guru dan pelajar untuk menulis nota pelajaran tersebut.
“Kalau mahu kata semua sama, tidaklah... tetapi saya rasa banyak yang sesuai untuk digunakan oleh pelajar terutamanya buku latihan bagi membantu mereka mengulangkaji pelajaran.
“Lagipun, harga yang ditawarkan sangat murah. Misalnya buku sastera, kalau di luar, harganya RM15 tapi di Jualan Gudang Karangkraf hanya RM3. Anak saya minta beli kerana berbaloi,” katanya kepada Sinar Ahad.
Sementara itu, ibu kepada dua orang anak, Sarinah Said, 52, memberitahu, dia mengambil masa yang lama untuk memilih buku kerana banyak pilihan dan harga sangat murah.
Menurutnya, pelbagai jenis buku yang dijual, antaranya novel, majalah masakan, al-Quran, komik, buku aktiviti sekolah dan sebagainya.
“Pening juga nak pilih yang mana, semuanya menarik, harga pun murah. Suasana selesa memberi ketenangan kepada pembeli. Saya boleh duduk lama untuk memilih buku,” ulasnya.
Bagi pelajar, L Puvanasire, 15, pula, jualan seperti ini perlu kerap diadakan bagi menarik lebih ramai pelajar untuk membaca, sekali gus dapat memupuk semangat mencintai ilmu.
“Saya teruja datang sini apabila melihat banyak buku yang dijual. Ini pun sudah beli lebih daripada sepuluh buah novel dan mungkin akan tambah lagi.
“Kalau di kedai buku dengan jumlah itu sudah pasti berharga ratusan ringgit, tapi di sini harganya sangat murah. Jadi boleh beli lebih lagi,” katanya.
Jumlah pengunjung meningkat 100 peratus
Sementara itu, jumlah pengunjung yang hadir ke Jualan Gudang Karangkraf 2023 memberangsangkan apabila peningkatan sehingga 100 peratus pada tiga hari terakhir berbanding sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, jumlah tersebut menunjukkan satu perkembangan yang positif dan percaya ia diperoleh hasil daripada kelainan yang ditampilkan pada jualan gudang kali ini.
Menurutnya, sebelum ini Jualan Gudang Karangkraf tidak pernah diadakan serentak dengan Karnival Pendidikan Sinar Bestari.
“Untuk tiga hari terakhir ini kita dapat lihat orang ramai menyerbu jualan gudang. Kalau semalam (Jumaat), ramai pelajar sekolah dan hari ini (Sabtu) dipenuhi dengan ibu bapa. Ia mungkin disebabkan oleh Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang diadakan pada Jumaat hingga Ahad. Di samping para pengunjung melawat reruai pameran dan melakukan pelbagai aktiviti di karnival, mereka turut singgah ke jualan gudang.
“Pada mulanya kita tidak jangka sambutan sangat menggalakkan kerana kali ini pengunjung terpaksa parkir jauh berbanding kebiasaannya namun alhamdulillah ramai yang datang untuk membeli buku,” ujarnya.
Jualan Gudang Karangkraf buat kali kedua tahun ini diadakan selama 11 hari bermula 31 Ogos hingga 10 September bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf.
Tambah Firdaus, jualan gudang kali ini menyaksikan novel mendapat permintaan tinggi terutamanya genre baharu Karangkraf Literature (K-Lit).
“Kandungan yang ditampilkan dalam novel K-Lit begitu dekat dengan remaja menyebabkan bahan bacaan itu mendapat sambutan.
“Esok (Ahad) hari terakhir dan saya berharap akan lebih ramai pengunjung hadir untuk membeli pelbagai buku dengan tawaran istimewa,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!