Jumlah keluar mengundi rendah, apa sebabnya?
KEPUTUSAN pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram menyaksikan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan kedua-dua kerusi yang disandang sebelum ini.
Kejayaan itu juga menepati ramalan pelbagai pihak bahawa gabungan berkenaan mampu mempertahankan kerusi tersebut dalam PRK kali ini.
Di Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat menang dengan majoriti 18,641 undi selepas memperoleh 48,283 undi.
Dua lagi pesaingnya, Zulkilfi Jaafar (PN) memperoleh 29,642 undi, manakala calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi mendapat 528 undi.
Manakala di DUN Simpang Jeram, calon PH, Nazri Abd Rahman menang dengan majoriti 3,514 undi selepas memperoleh 13,844 undi.
Wakil PN, Dr Mohd Mazri Yahya mendapat 10,330 undi dan calon Bebas, S Jeganathan mendapat 311 undi.
PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandang kedua-dua kerusi itu yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu akibat pendarahan otak.
Allahyarham Salahuddin mencatatkan kemenangan besar di Pulai dengan majoriti 33,174 undi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada 19 November 2022 manakala memperoleh 2,399 undi majoriti bagi Simpang Jeram menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lalu.
Dalam pilihan raya kali ini, kedua-dua kerusi berkenaan masing-masing menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.
Menggunakan daftar pemilih tambahan terbaharu yang dikemas kini setakat 23 Julai tahun ini, seramai 166,653 pengundi layak menunaikan tanggungjawab tersebut di Pulai dan 40,379 pengundi di Simpang Jeram.
Daripada jumlah tersebut, seramai 831 pemilih polis telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Selasa lalu selain 304 lagi menerusi undi pos.
Disebalik kejayaan mempertahankan kerusi miliknya, PH perlu juga menilai kembali isu peratusan keluar mengundi yang lebih rendah.
Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat jam 5 petang Sabtu, Parlimen Pulai mencatatkan jumlah peratusan keluar mengundi hanya 45 peratus dan DUN Simpang Jeram pula sebanyak 59 peratus.
Trend peratusan keluar mengundi yang rendah itu semakin ketara dan wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak bagi memastikan demokrasi berjalan dengan baik.
Justeru, di pihak parti yang menang atau kalah mempunyai tanggungjawab untuk mencari solusi terbaik bagi menarik lebih ramai rakyat keluar mengundi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!