Perak perketat pemantauan terhadap NGO
TAIPING - Perak memperketatkan pemantauan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama berkaitan permohonan dana kerajaan bagi mengelak berlaku salah guna peruntukan.
Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi berkata, semakan akan dibuat melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang dapat menentusahkan sama ada NGO berkenaan masih aktif di lapangan atau sebaliknya.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan kedudukan pertubuhan tersebut tidak menyimpang daripada matlamat dan hala tuju ketika ditubuhkan.
"Di peringkat kerajaan negeri, kita lebih berhati-hati dalam hal ini dan mana-mana NGO yang ingin mohon dana kerajaan, saya akan semak dahulu dengan RoS.
"Semakan ini untuk pastikan adakah NGO itu mengadakan mesyuarat agung dan menghantar penyata tahunan kepada RoS, jika tidak ada, maka tindakan termasuk penggantungan boleh dikenakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Akhir Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku Peringkat Negeri Perak di Taiping Mall di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Perak, Mohd Rizal Hashim.
Mohd Azlan berkata, kebanyakan NGO ditubuhkan mempunyai kecenderungan yang hampir sama menyebabkan ada pertubuhan itu sukar mendapat sokongan.
"NGO kena ada hasrat tersendiri, ada hala tuju contohnya jika perlu membantu dari segi kebajikan, jelaskan kebajikan sudut apa.
"Jangan pukul rata, sampaikan tiba sahaja bulan puasa, semua sama nak bagi bubur lambuk, bukan tidak boleh, tetapi nampak tiada identiti unik dalam NGO itu," katanya.
Sementara itu, sebanyak enam sekolah menengah terpilih membuat pementasan ke peringkat akhir Pertandingan Akhir Sketsa Rukun Negara yang menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Pasir Puteh (daerah Kinta) menjadi johan.
Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Perak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan itu bermula sejak April lalu dan telah menerima 40 video penyertaan secara dalam talian bertujuan mendidik pelajar dalam memahami dan menghayati lima prinsip rukun negara.
Mohd Azlan berkata, kerajaan negeri mahu pelaksanaan program seumpama itu diperluas dengan penyertaan aktif di setiap daerah.
"Selain memupuk semangat cintakan negara, saya dapat lihat program ini mencungkil bakat-bakat lakonan pelajar dengan cara bersahaja.
"Jadi selepas ini saya akan berbincang dengan Jabatan Penerangan supaya bermula tahun depan kita boleh adakan di setiap daerah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!