Peluang Itali layak ke Euro samar
PELUANG Itali untuk mempertahankan kejuaraan Euro mendapat tamparan hebat selepas selepas seri 1-1 dengan Macedonia Utara di tempat lawan dalam aksi kelayakan Euro 2024 pada awal pagi Ahad.
Enis Bardhi meledak gol untuk Macedonia berbaki sembilan minit masa perlawanan dalam pertembungan aksi Kumpulan C itu sekali gus mencalarkan penampilan sulung Luciano Spalletti sebagai pengendali Azzurri.
Spalletti mengambil alih pasukan Itali bulan lalu susulan peletakan jawatan mengejut Roberto Mancini.
Itali, yang menjaringkan gol menerusi Ciro Immobile berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan empat mata selepas perlawanan ketiga kempen kelayakan mereka.
Mereka berada sembilan mata di belakang pendahulu England yang telah bermain dua lagi perlawanan dan terikat 1-1 dengan pasukan di tangga kedua, Ukraine.
"Pasukan bermain OK. Kami tidak banyak bolos dan kami mendapat tempat di mana kami boleh mencipta peluang.
"Orang ramai menonton Itali dari seluruh dunia, mereka boleh menilai kami dari apa yang mereka lihat," katanya.
Selepas ini, Itali akan bertemu Ukraine yang menjadi antara perlawanan penting untuk membuka peluang juara bertahan itu layak ke Euro 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!