Nasi ayam claypot tular tiada sijil halal - Jakim
KUALA LUMPUR - Premis nasi ayam claypot di Sri Petaling yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu disahkan tidak memiliki sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Jakim menerusi kenyataan di Facebook berkata, pengguna Muslim dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dalam memilih premis makanan yang ingin dikunjungi.
Menurutnya, pastikan premis yang dipilih merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah daripada Pihak Berkuasa Berwibawa Pensijilan Halal Malaysia.
"Ketika ini ditularkan melalui media sosial berkenaan dengan status halal sebuah premis makanan di Sri Petaling yang menggunakan rice wine dalam masakan yang telah menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna Muslim yang mengunjungi premis tersebut.
"Berdasarkan kepada semakan melalui Portal Halal Malaysia, premis tersebut bukan pemegang SPHM yang sah dan pihak Jakim tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis tersebut," menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Ujar kenyataan itu, pengguna boleh mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Rasmi Halal Malaysia di https://www.halal.gov.my/v4/.
"Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal.
"Selain itu, pengguna boleh mengikuti penjelasan berkenaan isu-isu halal yang tular melalui Facebook Bahagian Pengurusan Halal, Jakim," katanya.
Sebelum ini tular di media sosial sebuah kedai nasi ayam claypot diusahakan pasangan suami isteri Muslim yang fasih berbahasa mandarin didakwa menggunakan alkohol jenis rice wine dalam penyediaan makanan tersebut.
Premis tersebut dipercayai ditutup sementara susulan penularan isu tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!