Haaland optimis mampu cabar Messi
PENYERANG berbisa Manchester City, Erling Haaland optimis mampu mencabar gelaran Ballon d'Or daripada bintang sensasi yang juga kapten Argentina, Lionel Messi.
Ia susulan kedua-dua prolifik bola sepak dunia itu adalah calon utama untuk memenangi anugerah tertinggi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu yang mengiktiraf pemain terbaik dunia sepanjang musim lalu.
Sebagai rekod Haaland melakar pencapaian menakjubkan memacu kejayaan The Citizens menjulang kejuaraan treble termasuk Liga Juara-Juara Eropah, Liga Perdana Inggeris dan Piala FA.
Messi pula tidak kurang hebat apabila mengemudi Argentina menjuarai Piala Dunia di Qatar hujung tahun lalu di mana ia adalah Piala Dunia ketiga buat negara tersebut.
Haaland tanpa berselindung mengakui dia ketika ini antara penyerang terbaik dunia berdasarkan kepada prestasi semasa bersama City dan skuad kebangsaan Norway.
“Ia bergantung kepada apa yang kita maksudkan sebagai penyerang. Ia soalan yang mengelirukan. Saya memang berada di atas sana. Adakah saya yang terbaik? Mungkin.
“Saya masih muda, banyak yang perlu dipertingkatkan. Tetapi saya percaya mempunyai peluang tahun ini,” katanya.
Selain Messi, Haaland juga berdepan penyerang Perancis, Kylian Mbappe yang turut memainkan peranan besar membantu negaranya muncul naib juara Piala Dunia di belakang Argentina tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!