Menang PRK Pulai bukti Kerajaan Perpaduan diterima rakyat- Jalaluddin

Jalaluddin (tengah) ketika ditemui pada Program Jelajah Fit Malaysia peringkat Negeri Sembilan 2023.
Jalaluddin (tengah) ketika ditemui pada Program Jelajah Fit Malaysia peringkat Negeri Sembilan 2023.
A
A
A

SEREMBAN - Kemenangan calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang membuktikan rakyat semakin menerima prestasi kerajaan hari ini di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, usaha berterusan dilakukan parti di bawah gabungan itu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung pelbagai isu dimomokkan oleh pihak pembangkang juga ternyata berhasil.

"Bila kita lihat berdasarkan keputusan semalam (keputusan PRK), menampakkan peningkatan sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan.

"Saya yakin bila penjelasan dari semasa ke semasa kita lakukan, maka isu yang dibawa oleh pihak pembangkang berkaitan dengan politik persepsi ini tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan masyarakat," katanya ketika ditemui selepas Jelajah Fit Malaysia peringkat Negeri Sembilan 2023 di Sendayan pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas kejayaan Kerajaan Perpaduan mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan pada PRK pada Sabtu.

Jalaluddin yang merupakan Ahli Parlimen Jelebu turut menyatakan keyakinan kejayaan sama mampu diraih oleh gabungan itu di PRK DUN Pelangai tidak lama lagi.

"Saya yakin dan percaya, bila penjelasan kita lakukan, bila kempen yang berkaitan dengan pencapaian dan prestasi kerajaan, gerak kerja kerajaan, hala tuju dan naratif kerajaan dapat kita jelaskan kepada rakyat, saya yakin dan percaya rakyat akan terima.

"Ini merupakan satu keadaan yang tak mampu ditolak oleh rakyat dari pelbagai kaum dan bangsa. Tahniah kepada Presiden Pakatan Harapan (PH) dan Presiden Barisan Nasional (BN) serta seluruh jentera yang telah berusaha kuat meyakinkan rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu mengulas berkenaan jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah, beliau berkata, ia perkara biasa pada beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan sebelum ini.

Sehubungan itu katanya, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melakukan sesuatu bagi memastikan peratusan itu meningkat dari semasa ke semasa.

"Kita lihat dari segi peratusan keluar mengundi ketika PRK tentunya berbeza ketika Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Sebagai pemimpin parti, saya harap penglibatan pengundi pada setiap waktu PRK dan PRU ini dapat kita tambah dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam PRK yang berlangsung pada Sabtu, Suhaizan Kayat (PH) memenangi kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 18,641.

Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar yang memperoleh 29,642 undi dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi dengan 528 undi.

Sementara itu Nazri Abdul Rahman(PH) menang dengan majoriti 3,514 di DUN Jeram Padang selepas meraih 13,844 undi.

Beliau menewaskan calon PN iaitu Dr Mohd Mazri Yahya yang meraih 10,330 undi dan calon Bebas S.Jeganathan hanya mendapat 331 undi.

Kedua-dua calon yang menang tersebut adalah dari Parti Amanah Negara(Amanah).

ARTIKEL BERKAITAN:

Nazri menang di DUN Simpang Jeram

PRK: Suhaizan pertahan kemenangan PH di Parlimen Pulai

Kemenangan bukti kerjasama BN-PH diterima pengundi - Nazri

PRK: Kemenangan PH bukan undi simpati - Suhaizan

Kemenangan PH-BN pengiktirafan kepada Kerajaan Perpaduan

Tidak mungkin saya menang tanpa kerjasama PH-BN - Nazri

Anwar ucap tahniah kepada Suhaizan, Nazri

PRK: Pimpinan Kerajaan Perpaduan ucap tahniah atas kejayaan PH

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!