Pengendali China mohon maaf, akui Harimau Malaya lebih baik

Jankovic
Jankovic
A
A
A

PENGENDALI China, Aleksandar Jankovic mengakui pasukannya tidak beraksi dengan baik sehingga Harimau Malaya mampu mengikat pasukan kendaliannya 1-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Phoenix Hill, Chengdu pada Sabtu.

Jankovic turut memohon maaf kepada penyokong China berikutan aksi longlai dan tidak bertenaga skuad naga itu selain menyifatkan Harimau Malaya beraksi dengan lebih baik.

“Secara jujurnya kami tidak layak untuk menang malam ini. Penyokong memberikan sokongan sepanjang perlawanan dan saya minta maaf kerana kami mengecewakan mereka," katanya seperti dipetik agensi berita China, Xinhua.

Malaysia yang berada di ranking ke-136 dunia mengejutkan pasukan tuan rumah pada minit ke-11 menerusi Faisal Halim yang menyudahkan hantaran daripada Akhyar Rashid.

China yang bermain di hadapan 26,000 penyokong sendiri diselamatkan menerusi gol penyamaan daripada Lin Liangming pada minit ke-36.

“Ia satu perlawanan yang sukar buat kami. Kami bermain dengan teruk pada separuh masa pertama dari segi organisasi, keseimbangan, tenaga dan emosi.

“Kami bertuah kerana kami tidak bolos gol kedua dan ketiga. Kami membuat beberapa perubahan pada separuh masa kedua dan mencipta peluang.

“Namun, jika percubaan Xu Xin berhasil dan kami menang, ia tetap perlawanan yang teruk buat kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

China akan menentang Syria pada Selasa ini dan Jankovic menyifatkan perlawanan itu sebagai misi untuk menang dan menebus kehampaan.

“Perkara yang bagus adalah tiga hari akan datang kami masih ada perlawanan untuk membuktikan kemampuan kami. Kami perlu memperbaiki kesilapan dan menang untuk penyokong kami," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Harimau Malaya, China sama kuat di Chengdu

Gol hadiah buat Harimau Malaya, rakyat Malaysia - Faisal

Pan Gon puji semangat kental Harimau Malaya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!