Agong mahu rakyat hidup secara harmoni, bersatu hati

Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni penduduk di Tukau, Miri, Sarawak. - Foto Facebook Istana Negara
Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni penduduk di Tukau, Miri, Sarawak. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

MIRI - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini meminta rakyat supaya menjalani kehidupan secara harmoni dan bersatu hati antara satu sama lain.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian sebelum berkenan berangkat meninggalkan Pesta Keramaian Bersama Rakyat di Pantai Bungai, Bekenu, di sini, sempena Kembara Kenali Borneo.

"Duduk baik-baik, aman damai dan harmoni semuanya. Kena sokong kerajaan atas (pentas) ini, senang hendak buat pembangunan dan kemajuan.

"Saya tak mahu cakap politik. Saya hanya mahu cakap tentang kasih sayang sahaja. Saya Agong untuk rakyat Sabah dan Sarawak dan semua. Perlu bersatu hati, bersatu padu,” titah Seri Paduka.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat pada pesta keramaian yang dianjurkan sempena Kembara Kenali Borneo yang memasuki hari kelapan, hari ini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan mencemar duli bermukun di Pesta Keramaian bersama rakyat di Pantai Bungai Bekenu pada Ahad. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan mencemar duli bermukun di Pesta Keramaian bersama rakyat di Pantai Bungai Bekenu pada Ahad. - Foto Bernama

Berangkat sama ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan paduka anakanda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah menzahirkan jutaan penghargaan kepada penduduk di Miri atas sambutan yang cukup hebat bagi meraikan keberangkatan Seri Paduka bersama keluarga diraja sempena Kembara Kenali Borneo.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini, suatu hari yang cukup besar buat kami sekeluarga. Satu peringatan yang tetap di hati kami sepanjang hayat. Insya-ALLAH. Saya juga ingin minta maaf kalau saya tak dapat bersalaman dengan semua tetapi lambaian pun sudah cukup.

"Jangan bersusah-payah hendak berebut untuk salam. Angkat tangan (lambai) sebagai tanda kita bersalaman, bila kita salam sebegini akan sampai ke hati. Agong sayang anda semua," titah Al-Sultan Abdullah mengakhiri ucapan.

Pada pesta keramaian itu, senda gurauan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang berkenan beramah mesra menyertai permainan tradisional batu seremban dan congkak, mencuit hati hadirin pada pesta keramaian itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan mencemar duli menyertai sukan rakyat ketika berangkat ke Pesta Keramaian bersama rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di Pantai Bungai Bekenu pada Ahad. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan mencemar duli menyertai sukan rakyat ketika berangkat ke Pesta Keramaian bersama rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di Pantai Bungai Bekenu pada Ahad. - Foto Bernama

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri berkenan bermain batu seremban. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri berkenan bermain batu seremban. - Foto Bernama

Seri Paduka berdua meluangkan masa kira-kira 15 minit, bermain permainan itu bersama penduduk setempat yang amat teruja dapat beramah mesra dengan pasangan diraja itu.

Ketika ditemui Bernama, Mary Seman, 50, dari Kampung Tanau di sini, berkata, beliau berasa sangat teruja dan gembira selepas berpeluang bermain batu seremban bersama Al-Sultan Abdullah.

"Tuanku (Al-Sultan Abdullah) memang peramah, memang baguslah," katanya yang bersyukur dapat bertemu Seri Paduka berdua secara bersemuka buat kali pertama.

Sementara itu, Hasyila Busri, 36, meluahkan kegembiraannya apabila Raja Permaisuri berkenan meluangkan masa bermain congkak bersamanya

"Tuanku Permaisuri sangat ramah, baik hati dan mudah mesra untuk bergaul dengan rakyat. Jadi kami orang dekat sini memang berasa sangat gembiralah dengan kedatangan (keberangkatan) Tuanku berdua," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!