Ejen sekolah memandu buat tawaran di laman sosial

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan sindiket lesen gerenti lulus semakin berani apabila siasatan wartawan Sinar Siasat mendapati pakej tersebut turut ditawarkan ejen sekolah memandu melalui internet.

Wartawan Sinar Siasat mendapati terdapat dua pakej berbeza ditawarkan oleh ejen sekolah memandu di laman sosial.

Pertamanya, lesen gerenti lulus dengan menyediakan lesen memandu tulen tetapi calon perlu melalui semua prosedur yang ditetapkan.

Wartawan Sinar Siasat yang menyamar sebagai pemohon menghubungi ejen berkenaan melalui aplikasi WhatsApp dan ejen itu mengakui menawarkan lesen memandu gerenti lulus.

Ejen itu yang memperkenalkan nama sebagai Fahmy meminta wartawan Sinar Siasat datang ke pusat memandu yang terletak di Hulu Langat, Selangor sebanyak empat kali tanpa perlu bimbang gagal dalam ujian.

“'Kautim' lulus, tak ada ulangan, tak ada gagal. Ada kelas, ada ujian komputer. Cik kena hadir. Ini bukan lesen terbang.

“Semuanya akan lulus, tak ada satu pun akan gagal termasuk ujian litar pun akan lulus. Bayaran RM2,700 bagi lesen kereta manual, boleh bayar tiga kali secara ansuran,” katanya kepada wartawan Sinar Siasat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tawaran yang diberikan itu sentiasa terbuka kepada orang ramai, namun harga lesen dikenakan berubah dari tahun ke tahun.

Dakwanya, kenaikan harga dianggap melambung oleh sesetengah pemohon itu adalah akibat tindakan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menaikkan harga lesen.

Bagi seorang lagi ejen yang menggunakan nama WhatsApp Cahaya pula, dia menawarkan pakej yang pernah popular suatu ketika dahulu iaitu calon tidak perlu menghadiri mana-mana kursus atau ujian litar.

Selepas membuat pembayaran, Cahaya berjanji lesen memandu boleh disiapkan dalam tempoh tiga hari sahaja.

Wartawan Sinar Siasat cuba mendapatkan lokasi pusat memandu berkenaan, namun tidak berhasil.

“Lesen memandu itu memang ada dalam sistem JPJ dan boleh diperbaharui,” dakwanya.

Dia memberikan contoh seorang individu yang pernah memohon lesen gerenti lulus dan wartawan Sinar Siasat membuat semakan di laman web JPJ.

Ternyata individu berkenaan memiliki lesen memandu kereta manual dan pernah membuat Permohonan Lesen Belajar Memandu bagi lesen motosikal pada Jun 2018.

ARTIKEL BERKAITAN: Lulus walaupun buat silap

Pegawai JPJ sendiri jadi dalang sindiket

Komplot rasuah sekolah memandu, JPJ

JPJ ' panas' lagi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!