Langit Tumpat diwarnai aneka layang-layang, wau bercahaya

Pengunjung yang mengambil peluang beridah dengan menghamparkan tikar sambil menyaksikan layang-layang di udara. Gambar kecil dari kiri: Nur Azihan, Anis Azwa, Mohd Ariff
Pengunjung yang mengambil peluang beridah dengan menghamparkan tikar sambil menyaksikan layang-layang di udara. Gambar kecil dari kiri: Nur Azihan, Anis Azwa, Mohd Ariff
A
A
A

KOTA BHARU - Langit di Pantai Geting, Tumpat diwarnai aneka layang-layang gergasi dan wau bercahaya sekali gus menarik lebih 10,000 pengunjung di Pesta Wau Kebangsaan Kelantan 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lalu.

Tinjauan Sinar Harian pada hari terakhir penganjuran mendapati pengunjung hadir walaupun terpaksa bersesak beberapa jam dalam trafik yang panjang sebelum sampai ke pantai itu.

Seorang suri rumah, Nur Azihan Azid, 29, berasal dari Tendong, Pasir Mas menaiki kereta bertolak dari rumah pada jam 4 petang dan tiba pada 5.30 petang untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan keunikan aneka layang-layang daripada pelbagai negara seperti China.

Menurutnya, dia lima sekeluarga termasuk dua kanak-kanak hadir untuk melihat secara dekat layang-layang gergasi berbentuk haiwan dan watak-watak kartun itu.

“Setiap tahun saya mesti datang ke pantai ini untuk melihat layang-layang dan wau yang dinaikkan ke udara sambil membawa anak-anak kerana mereka lebih sukakannya.

“Saban tahun juga Pesta Wau lebih meriah dengan pelbagai keunikan layang-layang yang dipamerkan seperti berbentuk lembu, ayam, ikan pari dan juga watak kartun Mario,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Mohd Ariff memegang layang-layang berbentuk ayam dari negara China.
Mohd Ariff memegang layang-layang berbentuk ayam dari negara China.

Seorang lagi pengunjung yang juga penuntut institusi pengajian tinggi awam, Anis Azwa Azid, 19, berkata, dia sudah datang ke pantai itu pada sebelah petang dan sanggup menunggu sehingga malam bagi menyaksikan pameran serta pertandingan layang-layang dan wau bercahaya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemandangan langit yang dihiasi dengan aneka layang-layang tersebut sangat cantik dan lebih mengujakan apabila bercahaya pada malam hari dan berharap penganjuran itu akan diteruskan pada masa depan.

“Rakyat Kelantan sememangnya mahukan hiburan dan hiburan seperti ini yang diinginkan kerana sambil berhibur, kami juga dapat beriadah bersama keluarga dengan membawa tikar serta bersantai sambil menyaksikan pertandingan.

“Pesta seperti ini rasanya tidak dilakukan di negeri lain dan berharap akan diteruskan di Kelantan pada masa-masa akan datang,” ujar gadis itu.

Dalam pada itu, seorang kakitangan awam, Mohd Ariff Mohd Salleh, 45, berkata, pesta tersebut mengingatkannya pada arwah bapanya, Salleh Hussain yang membawanya untuk menyaksikan orang bermain wau di pantai sewaktu kecil.

Tambah bapa kepada dua anak itu, kini tiba gilirannya pula untuk membawa anak-anaknya menyaksikan wau dan layang-layang agar tradisi dapat terus dipelihara.

Layang-layang bercahaya yang dinaikkan pada waktu malam.
Layang-layang bercahaya yang dinaikkan pada waktu malam.

“Pesta sebegini amat membantu dalam menjaga warisan yang ada seperti di Kelantan terdapat pelbagai jenis wau seperti Wau Bulan, Wau Kucing dan Wau Jala Budi.

“Inovasi aneka layang-layang seperti watak kartun dan binatang ini juga perlu seiring dalam usaha pemeliharaan seni wau di negara kita,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!