[VIDEO] Ekzos bising antara kesalahan 'ekstrem' peserta RXZ Members 5.0

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesan beberapa kesalahan ekstrem dilakukan peserta himpunan RXZ Members 5.0 antaranya mengubahsuai ekzos kenderaan dan tidak mempamerkan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, dua kesalahan itu antara 535 kesalahan trafik yang dikesan sepanjang operasi khas motosikal (Ops Lejang) yang dijalankan pada Jumaat dan Sabtu.

"Sepanjang operasi itu kita mengesan kesalahan-kesalahan ekstrem antaranya mengubah suai saiz nombor plat kepada terlalu kecil dan mengubah suai paip ekzos motosikal menjadikan bunyi yang sangat bising.

"Kita percaya kesalahan ini merupakan trend untuk mengelak daripada diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

"Ia berikutan terdapat aduan daripada orang awam yang telah merekod kesalahan melanggar lampu isyarat oleh penunggang motosikal malangnya kita tak dapat proses disebabkan nombor pendaftaran terlalu kecil," katanya kepada pemberita selepas memeriksa motosikal Yamaha RXZ yang disita di Depoh Sita JPJ Terengganu di sini pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, katanya, terdapat motosikal dikenal pasti terlibat dalam kes nombor casis diganggu menyebabkan kenderaan itu disita.

Zulkarnain menunjukkan paip ekzos motosikal yang diubah ketika memeriksa motosikal Yamaha RXZ yang disita di Depoh Sita JPJ Terengganu di Kuala Terengganu, pada Ahad.
Zulkarnain menunjukkan paip ekzos motosikal yang diubah ketika memeriksa motosikal Yamaha RXZ yang disita di Depoh Sita JPJ Terengganu di Kuala Terengganu, pada Ahad.

Katanya, setakat ini pihaknya masih mengenal pasti motosikal yang terlibat dalam kes itu kerana ia dikhuatiri terlibat dalam kes motosikal curi atau dibawa masuk dari negara lain.

Artikel Berkaitan:

Zulkarnain memberitahu, sepanjang dua hari operasi itu, sebanyak 134 kesalahan yang direkodkan melibatkan tidak mempamer nombor pendaftaran, ubah suai ekzos (88), cermin sisi (57), ubah suai bentuk kenderaan (42), nombor pendaftaran ekstrem (26) dan tayar tidak mengikut spesifikasi.

“Kita juga dapati terdapat individu yang tidak memiliki cukai jalan, insurans dan lesen memandu termasuk dua penunggang bawah umur,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkarnain menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa tindakan menahan dan menyita motosikal peserta Himpunan RXZ Members 5.0 pada 8 dan 9 September lalu mempunyai agenda tertentu.

Katanya, sekatan jalan raya yang dijalankan adalah sebahagian operasi khas penguatkuasaan terhadap penunggang motosikal di seluruh negara yang dikuatkuasakan selama sebulan bermula 1 September lalu.

"Tiada istilah ‘pukat memukat' kerana operasi ini telah dijalankan sejak awal lagi.

"Saya difahamkan lebih 40,000 yang menyertai program itu, hanya kira-kira 1.34 peratus penunggang motosikal Yamaha RXZ yang dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan ditetapkan.

"Jika mereka mematuhi peraturan ditetapkan, pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan ke atas mereka," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 4,230 kenderaan diperiksa dengan sebanyak 1,698 saman (P2) dan lain-lain notis (789) dikeluarkan sepanjang operasi dijalankan bermula 1 hingga 9 September lalu.

Katanya, antara kesalahan utama ialah gagal mematuhi isyarat lampu merah, tidak memakai topi keledar, muatan bahaya dan tidak memakai tali pinggang keledar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!