PN akan terus pergiat usaha tawan Johor - Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) mengucapkan tahniah di atas kemenangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun tewas namun keputusan diumumkan pada Sabtu menunjukkan PN berjaya menambah bilangan undi di kerusi berkenaan.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan sokongan rakyat terhadap PN menunjukkan peningkatan.

"Apabila PH-BN bergabung sepatutnya mereka sudah ada stok undi sebanyak 90,000 di Pulai tetapi atas faktor peratus keluar undi yang rendah maka PN berjaya menambah undi.

"Berdasarkan data, boleh dikatakan 75 peratus pengundi Melayu telah tolak PH-BN dan jika unjuran ini berterusan, saya yakin PN mampu tawan Johor pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya ketika diminta mengulas berhubung keputusan PRK Pulai dan DUN Simpang Jeram pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia di sebuah hotel di ibu kota pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata, PN akan teruskan usaha menarik sokongan undi rakyat pada PRU akan akan datang.

"Walaupun demikian, kita ucapkan tahniah kepada PH-BN kerana telah berjaya pertahankan kerusi.

Artikel Berkaitan:

"Jika rasa puas hati dengan keputusan itu, mereka boleh teruskan tetapi kami tidak akan berhenti menyedarkan rakyat untuk tewaskan PH-BN pada PRU akan datang, "ujarnya.

Pada Sabtu, PH mempertahankan kerusi Pulai dan Simpang Jeram selepas kedua-dua calon mereka, Suhaizan Kaiat serta Nazri Abdul Rahman menang dengan majoriti 18,641 undi dan 3,514 undi.

Suhaizan memperoleh 48,283 undi menewaskan calon PN, Zulkifli Jaafar yang memperoleh 29,642 undi dan calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi (528).

Sementara Nazri memperoleh 13,844 undi, menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya (PN) yang memperoleh 10,330 undi manakala calon bebas, S Jeganathan hanya memperoleh 311 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!