Nazri mahu dekati anak muda, beri kesedaran kepentingan mengundi

Nazri menyantuni penduduk setempat ketika sarapan pagi di sekitar Jalan Sakeh Sungai Abong pada Ahad.
Nazri menyantuni penduduk setempat ketika sarapan pagi di sekitar Jalan Sakeh Sungai Abong pada Ahad.
A
A
A

MUAR - Nazri Abdul Rahman daripada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram semalam, bertekad mahu mendekati anak muda bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan mengundi.

Beliau berkata, perkara itu akan menjadi antara tugas pertamanya selepas dipilih sebagai wakil rakyat memandangkan ketika Pilihan Raya Kecil DUN Simpang Jeram yang berakhir semalam, tidak ramai anak muda dilihat keluar mengundi.

Beliau berkata, beberapa program dirancang untuk anak muda kawasan berkenaan seperti acara sukan dan rekreasi melibatkan pelbagai kaum, yang akan dilaksanakan sebaik sahaja beliau selesai mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di situ.

"Kita di sini (DUN Simpang Jeram) juga akan berbincang dengan kerajaan negeri bagi melaksanakan program yang sesuai terutamanya bagi mereka yang pertama kali mengundi iaitu pengundi 18 tahun.

"Pemahaman kepada golongan muda ini untuk mengundi dan memilih pemimpin yang mampu bekerja untuk mereka adalah satu perkara yang penting,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di sekitar Jalan Sakeh dan Batu 3 Bakri, dekat sini, pada Ahad.

Seorang pengundi di Simpang Jeram, Mohd Khuzai Supar, 54, berkata, beliau mengharapkan Nazri mampu menggalas amanah dengan penuh dedikasi.

"Jalankan setiap yang telah dijanjikan pada kempen lepas agar rakyat di kawasan Simpang Jeram ini mampu menarik nafas lega setelah pemimpin yang mereka pilih adalah yang tepat selain mengotakan apa yang diperkatakan,” katanya.

Bagi peniaga, Lim Pei Heng, 42, beliau mahu wakil rakyat yang baharu mengambil perhatian terhadap setiap permasalahan rakyat terutama membabitkan banjir kilat dan kesesakan lalu lintas di pekan Bakri ketika waktu puncak serta cuti umum.

Artikel Berkaitan:

Seorang guru, V Nagamoorthy, 56, berharap Nazri mampu meneruskan aktiviti turun padang sebagaimana Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang melaksanakan program bersama pelbagai kaum.

Nazri yang juga Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri memenangi kerusi DUN Simpang Jeram dengan majoriti undi 3,514 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional Dr Mohd Mazri Yahya dan calon bebas S Jegananthan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!