Dua individu diberkas bantu siasatan kes bunuh
KUALA LUMPUR - Dua individu diberkas bagi membantu siasatan kes berkaitan seorang lelaki ditemui maut dipercayai dibunuh dalam sebuah lori di Danau Kota, Setapak di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, laporan berkaitan kejadian dilaporkan adik mangsa kira-kira jam 1.48 pagi.
"Mangsa berumur 56 tahun itu dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah lori yang diletakkan tepi jalan di lokasi kejadian.
"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, Ashari berkata, susulan laporan itu dua suspek warga tempatan diberkas di lokasi kejadian.
"Dua suspek berumur antara 36 hingga 37 tahun itu diberkas sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Wangsa Maju.
"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati suspek mengalami kecederaan di bahagian telinga, bengkak di bahagian kepala dan bahagian pipi selain terdapat kesan darah dari dalam mulut," katanya.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan punca kejadian masih dalam siasatan lanjut pihak polis.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan menyalurkan maklumat kejadian kepada pihak polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!