BN akan terus pertahan Kerajaan Perpaduan - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu akan terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang mencerminkan wajah Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pada masa sama beliau berharap hubungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) yang baru terjalin dapat diperkukuhkan sehingga ke peringkat akar umbi.
"Ia bagi memangkin semangat perpaduan sekali gus memimpin negara dengan memberikan khidmat yang terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Ahmad Zahid yang menghadiri Persidangan DAP 2023 di Putrajaya bersama Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin hari ini berkata, beliau yakin parti itu bersungguh-sungguh untuk mengekalkan perpaduan negara ini.
"Saya melihat kesungguhan DAP untuk mengekalkan perpaduan negara ini dari dua ucapan daripada Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) dan Lim Guan Eng (Pengerusi Kebangsaan DAP).
"Ia juga diterjemahkan oleh para perwakilan yang saya temui setelah saya menjejakkan kaki ke dewan perhimpunan ini yang mahukan kestabilan politik untuk memangkin lebih kejayaan buat Malaysia,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!