Pernah sertai festival budaya di Itali beri kelebihan buat SMK Damansara Utama

SMK Damansara Utama berjaya merangkul johan dan koreografi terbaik dalam pertandingan tarian Karnival Pendidikan Sinar Bestari (KPSB) di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Ahad.
SMK Damansara Utama berjaya merangkul johan dan koreografi terbaik dalam pertandingan tarian Karnival Pendidikan Sinar Bestari (KPSB) di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengalaman menyertai festival kebudayaan di Itali pada Mei lalu memberi kelebihan kepada kelab Dutari dari SMK Damansara Utama menjadi johan pertandingan tarian sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari (KPSB).

Pelajar tingkatan lima, Nurfatihah Alisya yang juga dinobatkan sebagai koreografi terbaik pertandingan itu berkata, dia dan rakan-rakan gembira di atas kejayaan tersebut memandangkan mereka sudah berlatih sejak April lalu.

“Kami sememangnya sudah yakin akan menang kerana latihan sudah dijalankan sejak bulan Ramadan lagi, tetapi berhenti sekejap untuk memberi laluan kepada acara.

“Persiapan bagi pertandingan tarian di karnival ini, hanya dalam sembilan hari sahaja masa untuk berlatih.

“Apa-apa pun, memang cukup berpuas hati dengan usaha keras dan komitmen yang tinggi daripada semua orang,” katanya ketika ditemui di Pentas Utama, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Ahad.

Bagi kategori sekolah menengah, johan memenangi hadiah wang tunai RM300 berserta trofi, manakala naib johan, SMK Sijangkang Jaya membawa pulang RM200 dan tempat ketiga disandang oleh SMK Perempuan Methodist Klang dengan RM100, kesemua peserta diberikan hamper barangan daripada GM Klang serta sijil penyertaan berbentuk digital.

Pertandingan tarian itu dibarisi juri profesional iaitu artis budaya dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor seperti Zainuddin Abdullah, Nor Haslinda serta pengarah projek KPSB, Meen Tahrin.

Ditanya mengenai pengalaman mengiringi pelajarnya ke Itali dalam satu festival kebudayaan, guru, Noor Azira Ibrahim, 29, menerangkan, pihak sekolah pernah menghantar penyertaan untuk pertandingan tarian bagi kategori duo dan berkumpulan.

Artikel Berkaitan:

“Kami pernah menghantar beberapa pelajar yang perbelanjaannya kami tanggung sendiri ke Folkfore Festival di Itali untuk mempersembahkan tarian kebudayaan Malaysia.

“Festival ini penuh dengan pertunjukan budaya dan tradisi dari seluruh pelosok dunia, termasuklah pertandingan tarian, koir, nyanyian dan macam-macam lagi.

“Sekolah kami mewakili Malaysia di sana dan menghantar wakil bagi kategori duo dan berkumpulan, kemudian berjaya memenangi kedua-duanya,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!