Lelaki ditikam rakan sekerja sebelum dicampak dalam kolam
MANJUNG - Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tikaman di dada dipercayai dibunuh rakan sekerja dalam satu kejadian di Lumut dekat sini pada Jumaat.
Mayat mangsa warga Myanmar berusia lingkungan 40-an itu ditemui dalam kawasan kolam udang oleh majikannya sekitar jam 2 petang.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, maklumat awal mendapati, sebelum kejadian mangsa bersama suspek minum minuman keras sehingga menyebabkan berlakunya pergaduhan.
"Mayat mangsa dijumpai dalam kolam yang digunakan sebagai tempat pembuangan sisa kotoran dan hasil pemeriksaan terdapat satu tikaman di bahagian dada disyaki dilakukan suspek.
"Majikan mangsa berusia 53 tahun memaklumkan, suspek yang merupakan rakan sekerja mangsa juga warga Myanmar didapati tidak datang bekerja sejak hari kejadian disyaki cuba melarikan diri," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau berkata, usaha mengesan suspek dilakukan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh bagi mengetahui punca kematian.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 012-5077026 untuk membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!