'Sambutan dengan tepukan gemuruh mengejutkan saya' - Zahid
BAGAN DATUK - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan kehadirannya dalam Persidangan Tahunan DAP 2023 tidak disalah erti oleh mana-mana pihak.
Menurutnya, keberadaan beliau pada persidangan itu sebagai menyantuni rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Jelas beliau, tindakan itu juga sebagai menghargai kehadiran Setiausaha DAP, Anthony Loke ketika Perhimpunan Agung UMNO pada Jun lalu.
"Kita berada dalam satu gagasan parti gabungan. Orang berbudi kita berbahasa, jadi kita datang ke sana. Lagi pun ini pertama kali dalam sejarah seumur hidup saya menghadiri mana-mana perhimpunan agung parti berkenaan (DAP), namun sambutan tadi dengan tepukan bergemuruh secara ikhlas mengejutkan saya.
"Saya harap tidak ada interpretasi pelbagailah sebab dulu, sembilan bulan yang lalu kita jadi seteru politik tetapi hakikatnya dalam Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim landskap politik telah berubah dan kita menghormati antara satu sama lain," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Penutup Program Malaysia Next Leader Bagan Datuk di Dewan Dato' Lope Hashim di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Ahmad Zahid berkata, kepimpinan DAP secara jelas menyatakan prinsip parti itu yang menghormati semua perkara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan malah diulang semula oleh Anthony dalam ucapan dasar pada persidangan tersebut.
Menurutnya, kerjasama di antara parti-parti Kerajaan Perpaduan sudah menunjukkan keberhasilan menerusi keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang memihak kepada Pakatan Harapan (PH).
Terdahulu, Persidangan Tahunan DAP 2023 melakar sejarah apabila Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional menghadiri persidangan itu buat kali pertama.
Antara ahli politik lain yang turut hadir pada persidangan itu Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook; Setiausaha Penganjur DAP, Steven Sim Chee Keong; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!