Johan tarian, SK Kampung Medan bakal beraksi di Paris
SHAH ALAM - Kumpulan tarian Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Medan bakal berlepas ke Paris pada Oktober ini bagi membuat persembahan tarian tradisional dalam satu acara kebudayaan sempena International Competition And Festival Of Folklore Dance and Music ‘Etoiles De Paris’ 2023.
Guru pengiringnya, Radhimah Abd Rashid, 49, berkata, penyertaan mereka di Karnival Pendidikan Sinar Bestari (KPSB) pada Sabtu dianggap sebagai satu persiapan sebelum ke Paris.
Menurutnya, ini bukan kali pertama kumpulan tarian SK Kampung Medan menyertai pertandingan sebegini dan mendapat undangan melakukan persembahan di peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa.
“Jadual mereka (murid) sangat padat dan sering mendapat undangan untuk membuat persembahan di peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa.
“Untuk makluman semua, sebahagian daripada mereka akan pergi ke Paris untuk menyertai pertandingan di sana mewakili Malaysia bermula 24 Oktober hingga 3 November nanti,” ujarnya ketika ditemui di Pentas Utama, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Ahad.
Johan memenangi hadiah wang tunai RM300 berserta trofi, manakala naib johan, SK Puncak Alam 2 membawa pulang RM200 dan tempat ketiga disandang oleh SK Jalan Tiga dengan RM100, kesemua peserta diberikan hamper barangan daripada GM Klang serta sijil penyertaan berbentuk digital.
Pertandingan tarian itu dibarisi juri profesional iaitu artis budaya dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor seperti Zainuddin Abdullah, Nor Haslinda serta pengarah projek KPSB, Meen Tahrin.
Radhimah memaklumkan, pihaknya sangat berbangga dengan pencapaian murid SK Kampung Medan yang hanya mengambil masa singkat untuk melakukan persiapan, namun berjaya mempersembahkan tarian bertajuk ‘Sewang Ayuh Juragan Kontemporari’ itu.
Sementara itu, penari, Muhammad Norkhadif Rizki Norhaidi, 10, berkata, dia dan rakan-rakan tidak menyangka dapat merangkul trofi juara dalam percubaan sulungnya menyertai pertandingan di peringkat negeri kerana sebelum ini hanya memenuhi undangan persembahan di pesta keramaian.
“Ini pertama kali kami menang pertandingan tarian, latihan cuma empat hari sahaja dan jadual sangat padat tapi kami berjaya beri yang terbaik.
“Kalau ada peluang, kami nak sertai lagi pertandingan seperti ini,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!