[VIDEO] Belum sehari bergelar YB sudah ada 30 permohonan

A
A
A

JOHOR BAHRU - Belum pun sehari Suhaizan Kayat memulakan tugas sebagai Ahli Parlimen Pulai pada Ahad, beliau sudah menerima lebih 30 surat permohonan daripada penduduk berkenaan masalah rakyat.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, permohonan tersebut tidak termasuk masalah-masalah yang diadukan terus kepada wakil-wakil daripada pihaknya semasa berkempen.

"Saya akan beri perhatian pada isu-isu yang dibangkitkan dan cadangan-cadangan yang dikemukakan rakyat untuk dilaksanakan.

"Antara permohonan adalah membabitkan infrastruktur manakala anak muda dan wanita pula mahukan program untuk mereka. Selain itu, akan lihat isu-isu perumahan juga.

"Sekarang pula kita sudah di hujung tahun (biasanya peruntukan sudah tiada), ini satu cabaran bagaimana kita nak uruskan (tunaikan permintaan mereka)," katanya.

Suhaizan bertemu pengundi dan penyokongnya dalam Majlis Kesyukuran Rakyat dan Petugas PRK PH BN di Dewan Raya Bukit Indah, Taman Bukit Indah 2, Johor Bahru pada Ahad.
Suhaizan bertemu pengundi dan penyokongnya dalam Majlis Kesyukuran Rakyat dan Petugas PRK PH BN di Dewan Raya Bukit Indah, Taman Bukit Indah 2, Johor Bahru pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran Rakyat dan Petugas PRK PH BN di Dewan Raya Bukit Indah, Taman Bukit Indah 2, Johor Bahru pada Ahad

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai Suhaizan menang selepas mendapat 48,283 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar (28,642 undi) manakala calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi (528 undi).

Artikel Berkaitan:

Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meraih kemenangan majoriti 18,641 undi sementara peratus keluar mengundi pula berjumlah 47.37 peratus.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November lalu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menang kerusi Parlimen Pulai dengan 64,900 undi.

Mengulas lanjut, beliau berjanji tidak akan memilih 'bulu' dan menjalankan amanah serta tanggungjawab dengan baik termasuk di kawasan penduduk yang tidak mengundinya.

"Saya takkan pinggirkan mereka sebagai ahli Parlimen yang dilantik dan berkhidmat untuk negara.

Saya akan usaha dan teruskan legasi Allahyarham dengan melaksana tugas-tugas sebagai Ahli Parlimen Pulai," katanya.

Terdahulu ketika berucap, beliau memberitahu, pembentukan dirinya sebagai ahli politik banyak dididik oleh Allahyarham semasa sama-sama dalam Pas sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Salahuddin.

"Beliau beri tunjuk ajar kepada saya dalam politik Johor dan negara. Antara usaha beliau untuk didik saya, Salahuddin selalu sebut nak pegawai dia termasuk saya jadi seperti dia, jadi kita cuba usahakan untuk memenuhi permintaan beliau seperti santuni masyarakat dan pendekatan politik sederhana.

"Kita perlu hargai jasa Allahyarham sama ada di Johor dan Pusat melalui usaha Rahmah. Saya cukup gembira dan terharu dengan kemenangan ini, majoriti lebih 18,000 adalah majoriti menyakinkan buat Kerajaan Perpaduan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!