Apakah kebebasan akhbar sudah bermula di Malaysia?

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Genap setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah, media di Malaysia kini mula menikmati beberapa perkembangan positif apabila kerajaan baharu memansuh atau mengetepikan beberapa undang-undang lapuk yang menghalang kebebasan akhbar di negara ini.

Berikutan itu, sejak PH mengambil alih Putrajaya, Malaysia meningkat ke 22 anak tangga dalam indeks terbaharu Kebebasan Akhbar Dunia dan berada pada ranking 123 daripada kalangan 180 negara yang disenaraikan.

Sekalipun ini dilihat sebagai pencapaian kecil, organisasi Reporters without Borders (RSF) yang berpangkalan di Paris menyatakan bahawa kebebasan akhbar kini berpeluang menghirup udara baharu di Malaysia selepas Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum Mei tahun lepas.

Ia berkata, wartawan dan aliran media yang sebelum ini disenarai hitam, seperti kartunis Zunar dan portal berita Sarawak Report kini dapat kembali bekerja tanpa bimbangkan gangguan.

Media Malaysia juga dapat menarik nafas lega apabila undang-undang berita tidak benar yang kontroversial digantung dan menunggu dihapuskan, dan media perdana tidak lagi perlu menunggu arahan atau ‘wahyu’ dari Putrajaya agar selaras dengan naratif politik kini. Mengulas mengenai kebebasan media di bawah pentadbiran PH, Dr Syed Agil Alsagoff berkata komitmen kerajaan baharu adalah membuka lebih banyak ruang kebebasan bermaklumat dalam kalangan pengamal media.

Ini dapat dirasai apabila kerajaan bersetuju menghapuskan beberapa akta yang menyekat kebebasan media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Hasutan dan juga meminda Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia itu berkata ia sekali gus akan merangsang industri media berkembang pesat di negara ini dan dapat mengurangkan tekanan perundangan terhadap pengamal media selain dapat bersaing dengan media-media dunia dalam persekitaran yang lebih mencerminkan kebebasan bermaklumat.

Sementara itu, penyelidik bebas dan konsultan pengurusan dan perancangan dasar Dr Faridzwan Abdul Ghafaar selari dengan pendapat yang menyatakan bahawa kebebasan akhbar jauh lebih baik kini berbanding semasa pentadbiran terdahulu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, langkah membentangkan pemansuhan Akta Berita Tidak Benar di Parlimen harus dipuji, namun itu tidak memadai kerana kerajaan di bawah PH berdepan masalah pengurusan media dan kelemahan dalam strategi sebaran am. "Ini sering menyebabkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dalam mendapatkan maklumat berkaitan dasar semasa kerajaan. Menteri kabinet dan pegawai bertanggungjawab perlu lebih peka dengan maklumat yang hendak disalurkan. Ini termasuk layanan terhadap pengamal media,” katanya.

Beliau percaya penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) dilihat dapat mentransformasikan media negara ini yang dikekang dengan bentuk-bentuk perundangan ortodoks yang menidakkan fungsi dan peranan media dalam dunia globalisasi dewasa ini.

Sementara itu, dalam nada yang sama Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy dilaporkan berkata dalam satu kenyataan bahawa pembentukan majis media bebas adalah cara terbaik menangani isu-isu berkaitan kebebasan media dalam jangka panjang.

"Sambil menunggu pengenalan majlis media, kementerian berkenaan perlu menimbangkan penubuhan sebuah jawatan pro-tem bagi mengkaji pertikaian seumpama itu demi menjamin kebebasan media tidak dihakis oleh anggota pentadbiran Pakatan Harapan yang gagal menghargai peri mustahaknya kebebasan media,” kata Sevan.

Mengulas mengenai perkara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kerajaan PH komited dengan kebebasan akhbar tetapi terdapat had-had yang ditentukan oleh undang-undang. "Jika seseorang membuat kesalahan maka, undang-undang akan mengambil tindakan. Kami telah lihat bagaimana penyalahgunaan media sosial boleh membawa kepada kesan yang besar di seluruh dunia...bukan saja di Malaysia. Negara lain turut menghadapi cabaran yang sama.

"Singapura, UK dan Australia menyeru lebih banyak peraturan dan sememangnya menekankan keperluan untuk pertimbangan mengenai sebanyak mana kebebasan yang kami ingin berikan atau menyokong media,” katanya dalam temu bual bersempena ulang tahun pertama pentadbiran PH di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Gobind menegaskan bahawa kementerian sedang menunggu untuk berbincang mengenai penubuhan MMC dengan mengambil kira semua pertimbangan sebelum membuat sebarang keputusan.

MMC akan menjadi badan kawal selia sendiri yang boleh menetapkan piawaian untuk komuniti media bagi membantu dan mengekalkan kepercayaan dalam industri selain bertindak sebagai badan timbang tara antara orang awam dan media demi kepentingan semua rakyat Malaysia.

Penasihat Media dan Komunikasi perdana menteri Datuk A. Kadir Jasin dilaporkan berkata MMC mungkin akan ditubuhkan tahun ini. "Saya telah bercakap dengan beberapa kumpulan untuk menggalakkan mereka menubuhkan (MMC) secepat mungkin. Masih ada banyak janji yang belum disampaikan khususnya dalam aspek pembaharuan, banyak lagi undang-undang yang kami janji untuk dihapus atau dipinda masih ada,” katanya.

Kadir berkata penubuhan MMC adalah penting tetapi kerajaan tidak akan terlibat dalam proses itu.

Walaupun semua janji dan usaha dilakukan untuk membebaskan media daripada undang-undang dan peraturan kuno yang menyekat kebebasan media, hanya masa yang akan menentukan hasilnya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!