KBS sedia timbang ganjaran kepada juara dunia boling padang

Hannah berucap pada program Sukan Persahabatan Korea dan Malaysia di Stadium Juara pada Ahad. - Foto Bernama
Hannah berucap pada program Sukan Persahabatan Korea dan Malaysia di Stadium Juara pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedia menimbangkan pemberian ganjaran khas kepada gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Ahmad Nawawi yang muncul juara pada Kejohanan Boling Padang Dunia di Gold Coast, Australia, semalam.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memberi insentif berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada atlet negara yang beraksi cemerlang di pentas antarabangsa.

Hannah berkata, beliau juga akan memastikan MSN memberikan sokongan tambahan kepada dua atlet berkenaan untuk mereka terus mengekalkan prestasi terbaik pada kejohanan akan datang.

"Saya nak ucapkan tahniah kepada mereka...(kejayaan) dua wanita ini sama dengan hasrat kita untuk mempromosikan wanita dalam sukan.

"Saya perlu bincang dengan MSN dan sememangnya hasrat kita untuk atlet yang menunjukkan prestasi cemerlang mesti akan ada insentif bagi menghargai mereka,” katanya pada program Sukan Persahabatan Korea & Malaysia: Meraikan Ulang Tahun Ke-40 Dasar Pandang Ke Timur Melalui Sukan di Stadium Juara di sini pada Ahad.

Hannah bergambar pada program Sukan Persahabatan Korea & Malaysia: Meraikan Ulang Tahun Ke-40 Dasar Pandang Ke Timur Melalui Sukan di Stadium Juara pada Ahad. - Foto Bernama
Hannah bergambar pada program Sukan Persahabatan Korea & Malaysia: Meraikan Ulang Tahun Ke-40 Dasar Pandang Ke Timur Melalui Sukan di Stadium Juara pada Ahad. - Foto Bernama

Kejayaan gandingan negara itu hadir selepas mereka menewaskan pasangan dari Malta, Rebecca Rixon dan Connie Leigh Rixo 15-11 pada aksi final acara pairs wanita, sekali gus menamatkan penantian 15 tahun Malaysia meraih pingat emas di Kejohanan Dunia.

Sementara itu, mengenai program hari ini, Hannah berkata, ia merupakan usaha untuk mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Korea Selatan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tahu K-pop sangat popular di Malaysia, dan ini merupakan inisiatif pertama untuk kita mulakan kerjasama itu. Kita juga ada pertukaran apabila kita minta atlet membuat persembahan (seperti gimrama dan wushu) dan mereka pula perkenalkan sukan mereka (tarian dram dan ‘Geum-do’) kepada kita,” katanya.

Hannah pada masa sama turut mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon dan pasukan Bawah 23 (B-23) Tahun, yang masing-masing menampilkan prestasi membanggakan semalam.

Skuad Harimau Malaya menampilkan persembahan terpuji apabila mengikat tuan rumah, China 1-1 pada aksi antarabangsa Tier 1 di Stadium Phoenix Hill di Chengdu, manakala pasukan B-23 negara menumpaskan Filipina 4-0 pada perlawanan kedua saingan Kumpulan H pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Stadium Chonburi di Thailand. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!