Pengunjung teruja lihat aksi Maritim Malaysia
SHAH ALAM - Pengunjung teruja melihat demonstrasi mempertahankan diri sepasukan anggota dan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor pada majlis penutup Karnival Pendidikan Sinar Bestari (KPSB) di Dataran Karangkraf di sini, pada Ahad.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza Mohd Ghazali berkata, persembahan itu memaparkan teknik mempertahankan diri anggota Maritim Malaysia ketika berhadapan dengan penjenayah yang agresif di laut.
"Kita mahu memberi pendedahan kepada pengunjung berkaitan tugas anggota penguatkuasa Maritim Malaysia ketika mereka melaksanakan tugas yang mencabar," katanya ketika ditemui di reruai Maritim, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Sharenliza berkata, pihaknya turut menyediakan pelbagai informasi berkaitan Maritim Malaysia di reruai Maritim.
"Kita turut mempamerkan aset dan pakaian anggota Maritim Malaysia serta pengunjung turut berpeluang mengambil gambar dengan sebuah jet ski milik Maritim Malaysia.
"Saya berharap jalinan kerjasama Maritim Malaysia dan Kumpulan Karangkraf dalam karnival sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan," ujarnya.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada hari terakhir meriah dengan kehadiran pengunjung yang memanfaatkan cuti hujung minggu.
Bertemakan 'Memacu Pendidikan Generasi Digital', acara bermula jam 9 pagi hingga 7 malam itu menyaksikan sambutan luar biasa sejak hari pertama dengan kehadiran rombongan dari sekolah-sekolah sekitar Lembah Klang termasuk dari luar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!