Madihah Nur Safiyyah 'Genius Star' Karnival Pendidikan Sinar Bestari
SHAH ALAM - Murid Tahun Lima dari Sekolah Kebangsaan (SK) TUDM, Madihah Nur Safiyyah Hanif Omar dinobatkan sebagai pemenang pertandingan 'Who wants to be a Genius Star' sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari (KPSB) yang berlangsung pada Ahad.
Kemenangan dalam pertandingan uji minda anjuran Nu Ideaktiv Sdn Bhd itu, menyaksikan murid terbabit layak memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM350 hasil kemenangan di pusingan awal dan akhir.
Madihah berkata, kemenangan tersebut adalah pencapaian dan hadiah terbesar bagi dirinya sejak dia mula aktif menyertai pelbagai pertandingan seumpama itu sejak tahun lalu.
Menurutnya, minat yang mendalam terhadap pengetahuan am selain apa yang dipelajari di sekolah membantunya untuk lebih yakin dalam menjawab soalan.
"Saya gementar apabila berada atas pentas dan semua orang tertumpu melihat saya menjawab soalan.
"Sejak soalan pertama saya yakin, tapi sehingga soalan kedua terakhir bernilai RM200 saya tak yakin tapi saya jawab tanpa menggunakan talian hayat.
"Alhamdulillah saya jawab dengan betul sampai soalan terakhir bernilai RM300...dan saya rasa sangat gembira dan teruja," katanya ketika ditemui pada Ahad.
Madihah berkata, dia tidak berhasrat membelanjakan wang kemenangan itu sebaliknya mahu menyimpan hadiah yang disifatkan terbesar pernah dimenanginya.
Sebelum itu, Madihah menyertai pertandingan peringkat awal bersama beberapa lagi peserta lain di reruai Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan memenangi wang tunai RM50 sekali gus melayakkannya ke pusingan akhir.
Acara pusingan akhir yang dibuat di pentas utama karnival menyaksikan kemeriahan daripada ratusan pengunjung yang memberi sokongan terhadap Madihah.
Madihah perlu menjawab sepuluh soalan dengan betul dan setiap soalan mempunyai nilai wang tunai.
Dua talian hayat yang diberikan, iaitu bantuan awam dan panggilan telefon, namun Madihah hanya menggunakan satu talian hayat iaitu bantuan awam membuatkan suasana bertambah gamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!