Gangguan seksual terhadap wanita dalam talian meningkat - KPWKM
KUALA TERENGGANU - Kepesatan teknologi termasuk pelbagai medium media sosial menyebabkan gangguan seksual secara dalam talian terutama kepada golongan wanita semakin meningkat di negara ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, bagi berdepan situasi itu, golongan wanita perlu bangkit dengan membuat laporan gangguan seksual yang dialami bagi membolehkan tindakan segera diambil.
"Komentar tidak sopan yang ditulis di media sosial juga merupakan bentuk gangguan seksual. Mangsa sebenarnya boleh ambil tindakan terhadap komen-komen di media sosial yang berbentuk gangguan seksual.
"Buat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sekiranya gangguan itu berlaku secara dalam talian. Dalam masa yang sama, laporkan kepada polis untuk pihak berkuasa lakukan siasatan lebih terperinci," kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Jerayawara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) @Advokasi Antigangguan Seksual di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini pada Ahad.
Menurut Aiman Athirah, pihak kementerian telah mengambil langkah signifikan menerusi penggubalan Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] khusus untuk membendung kesalahan gangguan seksual agar tidak terus dinormalisasikan dalam kehidupan masyarakat.
Jelas beliau, semakin ramai mangsa yang berani tampil membuat laporan dengan adanya akta berkenaan.
Beliau memberitahu, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat 477 kes gangguan seksual dilaporkan pada tahun 2022 dengan 14 kes daripadanya dilaporkan di Terengganu.
"Sebarang kelakuan bersifat seksual sama ada secara fizikal, lisan, visual atau isyarat oleh pelaku ke atas mangsa akan memberi impak negatif kepada kesihatan mental, fizikal dan psikososial mangsa.
"Jangan anggap ia sebagai satu jenaka yang tidak berbahaya, sebab itu kita beri penerangan kepada golongan wanita melalui program advokasi ini untuk menghentikan gangguan seksual ini terus berlaku," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!