Moyang dua cicit, motosikal zaman perang antara tarikan Moto Show

Kamaruddin bersama motosikalnya, Yamaha RD 250 yang dibeli pada 1998 menyertai Moto Show di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Ahad.
Kamaruddin bersama motosikalnya, Yamaha RD 250 yang dibeli pada 1998 menyertai Moto Show di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Moyang kepada dua cicit, sekali gus menjadi peserta tertua dan motosikal dari zaman perang merupakan antara perkara menarik dalam penyertaan pertandingan Moto Show Klasik serta Retro di Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Ahad.

Peminat motosikal tegar, Kamaruddin Wahid, 78, atau lebih dikenali sebagai Cik Din berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang menyertai pertandingan itu kerana sangat meminati dunia permotoran sejak 1962 sehingga sekarang.

Menurutnya, dia sering bergaul dengan anak muda yang mempunyai hobi sama sepertinya dan menjelajah ke seluruh negeri termasuk Thailand sebanyak tiga kali.

"Untuk pertandingan ini, saya bawa motosikal yang dibeli pada 1998 iaitu Yamaha RD250.

“Dalam kalangan sama umur dengan saya, sudah tiada yang larat menunggang motor, jadi saya sertai golongan muda pergi pusing satu Malaysia termasuk Thailand.

“Jika ada acara permotoran pada setiap bulan atau minggu memang saya akan masuk,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

Kamaruddin (dua dari kiri) bersama peserta Moto Show di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Ahad.
Kamaruddin (dua dari kiri) bersama peserta Moto Show di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Kamaruddin memaklumkan, sehingga kini, dia mempunyai empat koleksi motosikal daripada jenama Yamaha RX-Z dan Kawasaki, termasuk Vespa.

Tambahnya, dia mengambil keputusan untuk menyertai acara seperti itu kerana ingin memenuhi hobi dan masa lapang kerana tiga anaknya sudah pun mendirikan rumah tangga.

“Tiga orang dah berkahwin dan ada anak-anak, jadi saya mempunyai lapan cucu dan dua cicit sekarang,” ujarnya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Mohd Azhari Mohd Said, 47, memaklumkan, dia menghantar tiga buah motor pelbagai jenis, namun motosikal dari zaman perang antara kegemarannya untuk dipertandingkan.

Mohd Azhari Mohd Said bersama motosikal dari zaman perang iaitu Triumph TRW500 di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf Shah Alam pada Ahad.
Mohd Azhari Mohd Said bersama motosikal dari zaman perang iaitu Triumph TRW500 di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf Shah Alam pada Ahad.

“Triumph TRW500 ini digunakan semasa zaman perang sekitar 1940 oleh arwah ayah saya, walaupun sudah lama, tetapi masih boleh digunakan sehingga sekarang.

“Keistimewaan pada motosikal ini adalah reka bentuk tongkatnya seperti basikal tua zaman dahulu dan brek kaki di sebelah kanan kerana ia keluaran British.

“Selain itu, saya ada juga bawa motosikal Suzuki GS650G dan Suzuki GSX-S750 keluaran 1983, merupakan satu-satunya motosikal di dunia yang mempunyai lampu jenis lipat (flip-up),” jelasnya.

Mohd Azhari juga menambah, motosikal tersebut pernah tenggelam dalam banjir besar di Shah Alam dua tahun lalu, namun bersyukur kerana masih berfungsi dengan baik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!