Kanak-kanak lelaki lemas di sungai
PASIR GUDANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun lemas semasa melakukan aktiviti di sungai di Jalan Nilam 1, Taman Cendana di sini pada Ahad.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Yusri Atan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.16 petang.
"Seramai sembilan anggota dibantu sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah jentera Fire Response Vehicle (FRV) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Tindakan operasi membuat pencarian di sekitar kawasan mangsa dipercayai lemas dan telah berjaya ditemui pada jarak tiga meter dari tebing sungai pada kedalaman tiga meter," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, mangsa, Muhamad Danil Zahri Borhanuddin disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir.
Katanya, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat pada 6.40 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!