Kampung Penan Muslim junjung kasih, terharu kunjungan Agong

Al-Sultan Abdullah berkenan berswafoto bersama rakyat jelata ketika berangkat tiba ke Kampung Penan Muslim pada Ahad. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan berswafoto bersama rakyat jelata ketika berangkat tiba ke Kampung Penan Muslim pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

BINTULU - Persinggahan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah di Kampung Penan Muslim Batu 10, di sini pada Ahad, dianggap oleh penghulu kampung itu sebagai manifestasi pengiktirafan Seri Paduka berdua terhadap kepelbagaian kaum yang terdapat di Sarawak.

Penghulu, Raini Piee, 64, berkata, Al-Sultan Abdullah merupakan ketua negara pertama yang berkenan berangkat ke kampung yang telah wujud sejak 55 tahun lepas itu.

"Inilah kali pertama Yang di-Pertuan Agong datang ke kampung kami, dan kami amat menjunjung kasih atas perkenan baginda singgah di sini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, Kampung Penan Muslim Batu 10 yang diasaskan oleh ayahnya, Piee Miring pada tahun 1968 bermula dengan hanya tiga keluarga, kini telah berkembang kepada 374 rumah dengan 1,050 orang penduduk.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri berkenan berangkat ke Kampung Penan Muslim sempena Kembara Kenali Borneo pada Ahad. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri berkenan berangkat ke Kampung Penan Muslim sempena Kembara Kenali Borneo pada Ahad. - Foto Bernama

"Dulu kawasan kampung ini adalah hutan tebal, bapa saya memeluk Islam semasa berkahwin dengan ibu saya yang merupakan orang Brunei, dan merekalah antara pengasas yang membuka kampung ini.

"Mengikut sejarah kami, kaum Penan ini adalah kaum nomad yang berpindah-randah serta tidak beragama dan mencari penghidupan berhampiran dengan sungai. Keluarga saya sendiri berasal dari kawasan Sungai Sebiew, Bintulu sebelum membuka kampung ini,” katanya.

Raini berkata, kaum Penan yang populasinya tertumpu di kawasan pedalaman utara Sarawak kini sudah berubah dan telah menerima cara kehidupan baharu serta moden.

Artikel Berkaitan:

Malah, menurutnya pakaian kaum Penan Muslim juga kini sudah berbeza sesuai dengan agama Islam selain ada dalam kalangan kaum itu yang sudah memegang jawatan Temenggong dan Pemanca.

Terdahulu, keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di kampung yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Bintulu itu disambut penuh meriah dan ceria oleh penduduk kampung, ada yang siap memperagakan busana tradisional Penan.

Tunku Azizah berkenan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di Kampung Penan Muslim. - Foto Bernama
Tunku Azizah berkenan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di Kampung Penan Muslim. - Foto Bernama

Pasangan diraja itu turut berkenan mengurniakan sumbangan bantuan kepada 100 orang asnaf di kampung berkenaan.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Ahli Dewan Undangan Negeri Samalaju, Datuk Majang Renggi.

Esok, konvoi Kembara Kenali Borneo dijadual melawat Rumah Raymond Plen, Sungai Gelam, Sebauh, kira-kira 44km dari Bintulu, dengan aktiviti memasak, memancing dan penyampaian asnaf diatur bagi meraikan keberangkatan Seri Paduka berdua dan rombongan.

Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!