Tiada konflik kepentingan wujud antara China, Eropah - PM China
NEW DELHI - Tidak ada konflik geopolitik antara China dan Eropah, apatah lagi konflik kepentingan asas, kata Perdana Menteri China, Li Qiang pada Ahad.
China bersedia untuk bekerjasama dengan Eropah untuk menggalakkan pembangunan kukuh dan mantap hubungan dua hala, kata Li ketika bertemu dengan Presiden Majlis Eropah, Charles Michel di luar sidang kemuncak G20, lapor Xinhua.
Memandangkan China dan Eropah adalah dua kuasa utama, pasaran dan tamadun di dunia, hubungan China-Eropah bergantung kepada kestabilan dan kemakmuran global di benua Eurasia, kata Li.
Beliau menambah bahawa China berharap untuk melihat Eropah yang makmur dan stabil, dan bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Eropah untuk kekal komited terhadap perkongsian mereka, memperkuat lagi dialog dan pertukaran, memperdalam kerjasama yang saling menguntungkan, dan menangani isu sensitif dengan betul, untuk mempromosikan pembangunan hubungan China-Eropah yang berterusan, sihat dan stabil serta menyuntik kestabilan dan tenaga positif ke dalam dunia yang bergolak ini.
Li menegaskan bahawa kedua-dua pihak harus mengukuhkan panduan strategik.
Memandangkan tahun ini menandakan ulang tahun ke-20 perkongsian strategik komprehensif China-EU, Perdana Menteri China berkata, beliau berharap dapat mempengerusikan secara bersama pusingan baharu sidang kemuncak China-EU bersama Michel dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen.
Pembangunan China adalah peluang, bukan risiko bagi Eropah, dan kedua-dua pihak harus terbuka dan bekerjasama untuk manfaat bersama, kata perdana menteri.
Tidak kira sekarang atau di masa hadapan, Li berjanji bahawa China adalah dan akan kekal sebagai rakan dan rakan kongsi yang boleh dipercayai kepada Eropah.
China bersedia untuk bekerjasama dengan Eropah untuk meningkatkan dialog dan rundingan, membincangkan mewujudkan mekanisme yang relevan untuk menggalakkan kebolehpercayaan dan kestabilan hubungan ekonomi dan perdagangan China-Eropah, katanya, mengalu-alukan lebih banyak perniagaan Eropah untuk melabur dan beroperasi di China.
Michel, bagi pihaknya berkata, EU bersedia untuk menjadi rakan dan rakan kongsi yang ikhlas, boleh dipercayai dan membina kepada China.
China yang makmur adalah baik untuk EU dan dunia yang lebih luas, dan EU tidak berhasrat untuk membendung pembangunan China, kata Michel.
EU mematuhi prinsip satu China dan bersedia untuk bekerjasama dengan China bagi menganjurkan sidang kemuncak EU-China yang berjaya, memperdalam dialog dan kerjasama dalam pelbagai bidang, dan bersama-sama menangani cabaran global seperti perubahan iklim, kesihatan awam, keselamatan dan kestabilan. - Bernama-Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!