Penyokong China berang, minta pulang duit tiket
KEGAGALAN China meraih kemenangan ke atas Malaysia pada aksi persahabatan di Stadium Phoenix Hill, Chengdu pada Sabtu mengundang berang dalam kalangan penyokong pasukan tuan rumah.
Sebilangan besar penyokong yang menyaksikan aksi itu di stadium tidak berpuas hati selepas menyaksikan China yang menghuni ranking ke-80 dunia sekadar terikat 1-1 dengan skuad Harimau Malaya yang berada di kedudukan ke-136 dunia.
Para penyokong meminta Persatuan Bolasepak China (CFA) supaya memulangkan duit tiket perlawanan susulan prestasi hambar skuad bimbingan Aleksandar Jankovic itu, lapor China Sports Vision 2050 menerusi platform X.
"Di Stadium Phoenix Hill, ketika DJ mengumumkan keputusan 1-1 bagi aksi persahabatan antara China dan Malaysia, penyokong mengejek dan menjerit 'pulangkan duit kami," lapor China Sport Vision 2050 menerusi satu klip pendek di laman sosial itu.
Pengguna akaun sama turut mendakwa bekas pemain mereka yang juga legenda bola sepak China, Zheng Zhi yang ketika ini menjadi pembantu jurulatih berperang mulut bersama penyokong.
"Selepas aksi persahabatan yang berakhir dengan 1-1 Zheng Zhi dilihat bertekak dengan penyokong tempatan.
"Dia juga merenung dengan perasaan marah ke arah tempat duduk penyokong," lapor berita tersebut.
Pada aksi berkenaan, Faisal Halim meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-11 sebelum Lin Liangming menyelamatkan maruah tuan rumah dengan gol penyamaan pada minit ke-36.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!