Pengunjung seronok, teruja kemeriahan karnival
SHAH ALAM - Karnival Pendidikan Sinar Bestari meninggalkan kesan bermakna kepada pengunjungnya yang menzahirkan rasa puas hati dan teruja dengan kemeriahan acara pendidikan terbesar di Selangor itu meskipun pertama kali dianjurkan.
Rata-rata yang ditemui mahu karnival tersebut dianjurkan sebagai acara tahunan termasuk memperluaskan lagi penganjurannya ke negeri-negeri lain.
Pekerja swasta, Farhanah Ahmad Khair, 36, berkata, kemeriahan dirasai sebaik sahaja tiba di karnival tersebut lebih daripada apa dijangka membuatkan dia dan anak-anak teruja.
Menurutnya, untuk penganjuran kali pertama, karnival tersebut boleh dianggap sebagai satu kejayaan besar dan wajar diteruskan sebagai acara tahunan.
“Boleh tambah lagi aktiviti untuk kanak-kanak, boleh waktu cuti sekolah dan boleh pertimbangkan buat lebih dari tiga hari dan sampai malam pun menarik.
“Kemudahan letak kereta juga boleh ditambah baik supaya lebih ramai boleh datang pada masa akan datang,” katanya pada Ahad.
Suri rumah, Zuliza Che Awang, 37, pula berkata, keterujaan anak-anak membuktikan karnival itu memberi impak besar kepada pengunjung.
Katanya, dia tidak akan melepaskan peluang menghadiri karnival tersebut pada penganjuran akan datang.
“Saya ada dua orang anak, mereka maklumkan tentang karnival ini. Mereka nak datang dan saya pun memang nak bawa.
“Bila sampai, memang seronok dan sangat bagus. Kami pasti akan datang lagi jika ada tahun depan,” katanya.
Sementara itu, kakitangan awam, Thamendran Krishnan Kutty, 42, berkata, karnival berkenaan amat memberi manfaat kepadanya sekeluarga khususnya buat anak perempuan mereka berusia tujuh tahun.
Menurutnya, atur cara yang berlangsung sangat sesuai dijadikan sebagai aktiviti keluarga.
“Pendedahan yang diberikan melalui ruang pameran meliputi pelbagai aspek. Selain buku-buku dan persembahan, terdapat juga ilmu moral yang disampaikan terutama seperti Rasuah Busters.
“Saya harap ia diteruskan dan ditambah baik dengan menambah lagi ruang pameran melibatkan lebih banyak universiti awam dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Faizal Marzuki, 42, yang hadir bersama isteri dan tiga anaknya turut menyifatkan penganjuran kali pertama itu sudah mampu menarik minat orang ramai.
“Aktiviti sedia ada juga bagus. Anak-anak boleh tambah pengetahuan melalui pameran,” katanya.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang bertemakan Memacu Pendidikan Generasi Digital berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat.
Penganjuran julung kali karnival pendidikan terbesar Selangor itu turut berlangsung serentak dengan Jualan Gudang Karangkraf 2023.
Acara tersebut menghimpunkan sebanyak 100 pempamer dengan lebih 50 aktiviti dan pertandingan menarik untuk disertai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!