Semoga episod ngeri bersama Muda jadi pengajaran - Fadhli Umar
SHAH ALAM - Tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan perlu dijadikan pengajaran buat Pakatan Harapan (PH) khususnya Parti Amanah Negara (Amanah).
Exco Pemuda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, keputusan Muda adalah tindakan yang patut dibuat setelah sering mengecam kerajaan sehingga menjadi punca kerajaan diserang dengan teruk.
Menurutnya, anak muda sudah muak dan penat dengan perangai ahli politik yang gilakan kuasa.
"Apa yang lebih penting, pemuda parti khususnya perlu tunjukkan dan zahirkan bahawa pimpinan seharusnya lebih tegas dan keras dalam membuat sebarang keputusan melepaskan mana-mana kerusi khususnya yang dimiliki Amanah kepada mana-mana parti lain lebih lagi parti yang baru berusia setahun jagung.
"Cukup lah parti Amanah ini menjadi parti yang diharapkan untuk memberi laluan kepada mana-mana pihak termasuk rakan koalisi. Parti kita bukan lagi parti masa hadapan tetapi parti hari ini.
"Semoga episod ngeri bersama sebuah parti yang lupa daratan yang menunggang anak muda ini menjadi pengajaran penting buat kita semua khususnya dalam Amanah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Muda dilapor akan bertindak sebagai pembangkang kuasa ketiga sekali gus menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan, pemberitahuan mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi surat yang diutuskan pada Ahad.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam reaksinya sebelum ini, mengingatkan Syed Saddiq bahawa kemenangan di Parlimen Muar adalah atas kerjasama dan persefahaman bersama PH setelah enam kerusi diberikan kepada Muda untuk bertanding tanpa sebarang pertembungan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!