Rapatkan jurang dalam pendidikan digital

Selain infrastruktur, akses internet dan peranti turut dititikberatkan dengan kerjasama semua pihak terutama KKD serta syarikat korporat - Gambar hiasan
Selain infrastruktur, akses internet dan peranti turut dititikberatkan dengan kerjasama semua pihak terutama KKD serta syarikat korporat - Gambar hiasan
A
A
A

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang memberi tumpuan memacu pendidikan digital negara dalam mempelbagaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran.

Bagi tujuan itu, KPM memulakan usaha ke arah mewujudkan ekosistem digital yang canggih, maju dan terkedepan di sekolah seluruh negara.

Selain infrastruktur, akses internet dan peranti turut dititikberatkan dengan kerjasama semua pihak terutama Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta syarikat korporat.

Inisiatif melibatkan sekolah jenis kebangsaan dan agama itu dilihat mampu mengurangkan jurang sekali gus menoktahi kemiskinan digital murid di bandar serta pedalaman.

Dalam perkembangan terbaharu, Jemaah Menteri bersetuju Dasar Pendidikan Digital Negara dilaksanakan segera dengan pemerkasaan penggunaan teknologi bagi melahirkan generasi fasih digital, berdaya saing dan kreatif.

Bagi menyokong strategi pendigitalan pendidikan, guru bakal melengkapkan diri dengan pengetahuan digital menerusi kursus dan latihan berkaitan.

Pengalaman berdepan pandemik membuktikan pendidikan negara terutama di peringkat rendah dan menengah ketika itu belum bersedia sepenuhnya untuk pembelajaran secara atas talian.

Maka pelaksanaan segera pendidikan digital dapat mempersiapkan guru, murid dan ibu bapa berdepan cabaran pada masa akan datang selari dengan perkembangan teknologi yang mengubah banyak perkara.

Artikel Berkaitan:

Pembelajaran secara digital membolehkan pelajar mengikuti proses pembelajaran fleksibel tanpa terikat dengan waktu pembelajaran konvensional.

Bagi peringkat pengajian tinggi, pendigitalan pendidikan penting supaya graduan tidak menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan pekerjaan dalam industri yang kebanyakan tugasan dilakukan secara digital.

Selain kepantasan dan keluasan capaian internet, kemampuan mahasiswa memiliki komputer serta peralatan sokongan lain adalah keperluan yang perlu diberi perhatian.

Setakat ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah memperkenalkan beberapa inisiatif merangkumi bantuan pelan data dan peranti kepada pelajar B40 secara bersasar. Institusi pengajian tinggi (IPT) juga menyediakan pinjaman komputer riba kepada pelajar dan internet percuma.

Diharapkan inisiatif tersebut berterusan supaya tidak timbul isu capaian internet lemah atau pelajar tercicir pengajian kerana tiada komputer riba.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!