Jerman pecat Flick selepas tewas kepada Jepun
JERMAN bertindak memecat pengendali pasukan, Hansi Flick berikutan kekalahan memalukan 1-4 kepada Jepun dalam aksi persahabatan pada Sabtu, umum Persatuan Bolasepak Jerman (DFB).
Flick menjadi pengendali Jerman pertama yang dipecat sejak jawatan itu diwujudkan pada 1926.
Pengarah sukan Rudi Voeller yang membimbing pasukan itu ke perlawanan akhir Piala Dunia 2002 menentang Brazil akan mengambil alih tugas mengendalikan pasukan buat sementara waktu.
Presiden DFB, Bernd Neuendorf berkata pemecatan itu tidak dapat dielakkan selepas pasukan itu mencatat keputusan mengecewakan baru-baru ini.
"Memandangkan kejohanan Euro akan berlangsung di negara sendiri, kami memerlukan semangat optimis dan yakin," katanya.
Dalam pada itu, Voeller menyifatkan telah memberikan segala-galanya untuk mengubah keadaan menjadi lebih baik selepas Piala Dunia di Qatar
Jerman mengalami penyingkiran peringkat kumpulan yang memalukan pada Piala Dunia di Qatar tahun lalu.
"Perlawanan menentang Jepun menunjukkan kepada kami bahawa kami tidak boleh membuat apa-apa peningkatan dalam situasi ini," katanya.
Jerman gagal memberi cabaran kepada Jepun pada aksi persahabatan antarabangsa di Wolfsburg, dengan beberapa tindakan cemerlang daripada Marc-Andre ter Stegen menafikan jaringan sama seperti ketika dibelasah England 5-1 di Munich pada 2001.
Jerman kini tewas empat daripada enam perlawanan sejak tersingkir awal pada Piala Dunia Disember lalu. Euro 2024 akan berlangsung di Jerman pada Jun 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!