PM bentang kajian separuh penggal RMK12 di Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bertemakan ‘Malaysia Madani: Mampan, Sejahtera, Berpendapatan Tinggi’ pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memasuki Dewan Rakyat pada jam 9.45 pagi, diiringi isterinya yang merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Pembentangan KSP RMK12 di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul turut disiarkan secara langsung menerusi YouTube Parlimen Malaysia dan beberapa saluran televisyen.
KSP RMK12 dengan 17 anjakan besar sebagai pemangkin utama melalui 71 strategi dan inisiatif utama, merupakan jaminan teguh kerajaan dalam memenuhi tuntutan reformasi yang diharapkan rakyat, sekali gus memaknai semangat Malaysia Madani.
Ia bakal menjadi dokumen dasar bagi memacu dan melonjak pembangunan negara dengan mengangkat darjat serta memperkasa rakyat.
Penyediaan KSP RMK12 untuk mengukur pencapaian sasaran bagi tempoh dua tahun pertama (2021-2022) serta hala tuju 2023-2025, merangkumi kajian semula sasaran, strategi, inisiatif, program dan projek pembangunan bagi matlamat pembangunan serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.
KSP RMK12 memberi tumpuan kepada dua aspek iaitu penilaian dan semakan semula meliputi pencapaian, analisis jurang, cadangan penambahbaikan dan hala tuju.
RMK12, dengan peruntukan RM400 bilion yang dibentangkan pada 27 September 2021, merupakan fasa pelengkap rancangan pembangunan lima tahun negara (2021-2025) ke arah mencapai status negara maju dan inklusif.
Pada 7 Sept, Rafizi berkata KSP RMK12 perlu dinilai 100 peratus kerana tanggapan ataupun perancangan yang dibuat sebelum Covid-19 sudah tidak boleh lagi dipakai dan kajian separuh penggal kali ini boleh disifatkan sebagai rancangan baharu untuk negara.
Pada 19 Jun lepas, Mesyuarat Khas Perdana Menteri bersama Ahli Jemaah Menteri dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian mengenai KSP RMK12 bersetuju supaya semua pihak bergerak sebagai satu pasukan ke arah mempercepat pelaksanaan reformasi dan inisiatif ekonomi yang dirancang.
Menurut takwim di laman rasmi Parlimen, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat itu akan diteruskan dengan sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen selama tiga hari bermula esok, diikuti jawapan oleh kementerian berkaitan pada 18 dan 19 September. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!