Artis veteran, Mek Habsah meninggal dunia
PELAKON, penyanyi dan pelawak veteran era 80-an, Habshah Bakar dilaporkan meninggal dunia pada usia 67 tahun sekitar jam 2.45 pagi, Isnin.
Beliau yang lebih dikenali dengan nama Mek Habsah itu menghembuskan nafas terakhir di Institut Perubatan Respiratori (IPR) Kuala Lumpur akibat penyakit paru-paru.
Cucunya, Huraimi Hilman memaklumkan berita pemergian neneknya itu menerusi hantaran di Facebook.
“2.45 pagi, 11 September 2023, selamat berehat nendaku Habshah Bakar.
“Innalillahiwainnailaihirajiun, dari ALLAH kita datang, kepada ALLAH kita kembali,” tulisnya.
Sebelum ini, Allahyarham Mek Habsah difahamkan sudah lama menderita sakit paru-paru dan terpaksa bergantung kepada bantuan pernafasan oksigen.
Dalam perkembangan lain, menerusi hantaran Facebook Allahyarham, jenazah akan dibawa ke Masjid Bilal bin Rabah di Taman Koperasi Polis 1 pada jam 10 pagi ini.
Difahamkan, urusan pengebumian dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih Fasa 2, Kuala Lumpur, pada jam 2.30 petang.
Selain membintangi filem dan drama, Allahyarham Mek Habsah juga pernah muncul dengan album atas siri Asam Pedas bersama Allahyarham Datuk Yahya Sulong serta Allahyarham Maidin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!