Pemuda maut dalam kemalangan
JOHOR BAHRU - Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang terjatuh di sebelah kiri jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan di Kilometer 52.1 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah Selatan di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pada jam 3.42 pagi itu antara motosikal jenis Yamaha Y15ZR dengan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti.
"Hasil siasatan awal mendapati motosikal itu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di lorong sebelah kiri.
"Sebuah kenderaan jenis, warna dan nombor pendaftaran tidak pasti dari arah belakang tidak dapat mengelak lalu terlanggar penunggang motosikal tersebut," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penunggang terbabit, Muhammad Ayzad Daniel Azman, 19, yang beralamat di Taman Desa Jaya, Johor Bahru dan tidak memiliki lesen cedera parah serta meninggal dunia di tempat kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kita sedang mengesan saksi yang melihat kemalangan tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!