Kajian separuh penggal RMK12 perkenal dasar, strategi capai aspirasi Ekonomi Madani

Anwar ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bertemakan ‘Malaysia Madani: Mampan, Sejahtera, Berpendapatan Tinggi’ pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, pada Isnin. - Foto Bernama
Anwar ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bertemakan ‘Malaysia Madani: Mampan, Sejahtera, Berpendapatan Tinggi’ pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang digarapkan Kerajaan Perpaduan bukanlah pendekatan biasa dalam menilai rancangan pembangunan negara, sebaliknya meliputi dasar dan kaedah baharu untuk menghadapi cabaran semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KSP RMK12 dijajarkan semula dengan aspirasi dan visi Ekonomi Madani, yang dibentangkannya pada 27 Julai bagi merancakkan ekonomi negara untuk tempoh sepuluh tahun serta memacu pembangunan negara dan memperkasa kualiti hidup rakyat.

"Negara kini di persimpangan sama ada mengekalkan dasar dan kaedah lama atau melaksanakan islah (perubahan). Perubahan ini harus mencakup rangka memperbaiki tata kelola, melakukan anjakan dasar, dan memperkenalkan kaedah serta pendekatan baharu mengikut tuntutan semasa," katanya.

Membentangkan KSP RMK12 di Dewan Rakyat pada Isnin, Perdana Menteri berkata, anjakan secara tegas dan menyeluruh perlu dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan, yang diterajuinya sejak Disember 2022, bagi mengembalikan Malaysia ke landasan pertumbuhan ekonomi yang betul.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan dan kaedah baharu itu perlu dilakukan susulan ketidakstabilan politik dan wabak Covid-19 sejak awal 2020 yang mengakibatkan rakyat kehilangan mata pencarian, menyusutnya purata pertumbuhan ekonomi serta merosotnya pelabur asing.

Bagi menambah keperluan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan mewujudkan subsidi bersasar bagi menampung keperluan asas rakyat, beliau berkata kerajaan akan menambah siling RM15 bilion dan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12, yang diluluskan pada 2021, menjadikan jumlah keseluruhannya RM415 bilion.

KSP RMK12 bermatlamatkan "Malaysia Madani: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi" yang memperkenalkan 17 anjakan utama (big bolds) sebagai pemangkin utama melalui 71 strategi dan inisiatif utama bagi menghasilkan keberhasilan yang disasarkan.

Anwar berkata anjakan bermula dengan menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat termasuk memperbaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih, serta meneraju ekonomi Islam.

Artikel Berkaitan:

"Dalam bidang menoktahkan kemiskinan tegar, Insya-Allah kita akan berhasil menempa kejayaan yang bermakna sebelum akhir tahun ini," katanya

Perdana Menteri berkata, KSP RMK12 menyemak semula dasar, strategi dan sasaran secara menyeluruh dengan mengambil kira kesenjangan pembangunan kota, desa dan pedalaman dan juga miskin-kaya yang masih wujud, 'hutang yang membengkak', ruang fiskal terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan.

Tidak hanya menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan pendapatan rakyat, Perdana Menteri berkata kerajaan juga memberi penekanan terhadap kesejahteraan rohani rakyat menerusi Pembudayaan Masyarakat MADANI serta pengukuhan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

"Isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan juga menjadi keutamaan kerajaan. Justeru, kerajaan memutuskan untuk menubuhkan Institut Kesihatan Mental bagi menjamin usaha bersepadu antara kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil dalam menangani isu ini," katanya.

Mengenai isu perumahan rakyat, Anwar berkata peralihan daripada konsep pemilikan kepada konsep tempat tinggal dengan memperluas Skim Sewa untuk Beli bagi membolehkan lebih ramai kumpulan sasar dapat memiliki rumah.

Menyentuh ketersediaan bakat masa hadapan, beliau berkata kerajaan akan mempergiat usaha menstrukturkan semula pasaran buruh termasuk memperkenalkan model gaji progresif, meningkatkan penyertaan 60 peratus tenaga kerja wanita serta pemerkasaan orang kurang upaya dalam meningkatkan akses kepada pekerjaan yang akan disepadukan dalam portal MyFutureJobs..

Dalam usaha memantapkan sistem pendidikan negara, Anwar berkata, Dasar Pendidikan Digital (DPD) akan dilancarkan bagi melahirkan pelajar berkemahiran digital bagi menghadapi Era Revolusi Industri 4.0, selain memperkukuhkan lagi pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Antara inisiatif utama DPD adalah pelaksanaan program latihan peningkatan kompetensi digital pendidikan, penambahbaikan kurikulum program pendidikan dan pewujudan pasukan jauhari pendidikan digital," katanya.

Sementara itu, Perdana Memberi berkata, kerajaan akan mengoptimumkan kawalan keselamatan negara menerusi pelaksanaan projek seperti menaik taraf pusat kawalan operasi dan pembinaan baharu pangkalan operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Kerajaan juga akan menaik taraf dan pembinaan baharu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di pintu masuk terpilih dan pembinaan baharu pos keselamatan ATM di sepanjang sempadan Sabah dan Sarawak dengan Indonesia; dan pembangunan pangkalan tentera laut di Bintulu, Sarawak.

Dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan tata kelola perkhidmatan awam, Anwar berkata, kerajaan beriltizam untuk memperkenalkan dua anjakan utama iaitu Tatakelola dan Rangka Kerja Institusi, serta Perundangan Berkaitan Rasuah bagi memulihkan imej Malaysia di mata antarabangsa serta mengangkat martabat sebagai negara bermaruah dan antirasuah.

"Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti akan diperkenalkan sebagai panduan tata kelola bebas rasuah kepada semua entiti, baik dalam sektor awam mahupun swasta. Kerajaan juga menyasarkan kedudukan ke-25 teratas buat Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah sedunia dalam tempoh 10 tahun," katanya.

Bagi memperkemas jentera perkhidmatan awam, beliau berkata, Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) ditubuhkan untuk membantu menyelesaikan urusan tertangguh dan menyegerakan pelaksanaan projek serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!