Buah binjai lubuk rezeki buat penduduk Machang
MACHANG - Buah binjai atau nama saintifiknya mangifera caesia yang muncul sekali setahun menjadi 'lubuk' rezeki dalam kalangan penduduk di jajahan ini.
Dikategorikan sebagai buah nadir, kehadirannya cukup dinantikan penggemarnya dengan rasanya yang masam dan manis selain diancam kepupusan.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar jajahan ini mendapati lebih 100 gerai menjual buah binjai wujud umpama cendawan selepas hujan di sepanjang jarak lima kilometer dari Kemuning dekat sini sehinggalah ke sempadan Kuala Krai.
Kemunculannya sekitar Ogos dan September bagaikan 'durian runtuh' buat penduduk kerana hasil jualan buah eksotik ini cukup lumayan.
Ia diakui sendiri oleh salah seorang peniaga, Azlinawani Che Hashim, 24, yang sanggup menutup sementara waktu kedai jualan nasi ayam penyetnya semata-mata untuk menjual buah binjal.
"Alhamdulillah, selain durian, buah ini sangat dinanti-nantikan penggemarnya sehinggakan saya mampu memperoleh hasil jualan sekitar RM500 sehari dari jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari.
"Kalau musim cuti serta hari minggu jualannya lebih meningkat, inilah peluang saya serta peniaga lain untuk memperoleh keuntungan lebih," katanya ketika ditemui di gerai jualan di Kampung Pangkal Petai dekat sini.
Menurutnya, dia yang sudah 11 tahun berniaga buah binjai masam yang dijual dengan harga RM10 bagi lima biji manakala manis 10 biji mengikut saiz.
Ujarnya, jualan buah binjai boleh mencecah harga RM30 sebiji pada awal musim kemunculannya.
Azlinawani memberitahu, sekarang ini musim kemuncak dan buah binjai senang diperoleh.
Bagi penoreh getah, Baharin Mamat, 56, musim buah binjai sangat dinantikannya untuk mendapatkan pendapatan lebih.
"Kalau menoreh sukar untuk dapat sebanyak ini, tetapi dalam sehari saya memperoleh lebih RM100 hasil menjual buah segar selain yang siap dijeruk.
"Buah segar dijual RM5 bagi 3 biji manakala yang jeruk RM20 sebotol, kedua-duanya laris dijual," katanya.
Sementara itu, peniaga buah di Kampung Pek, Nik Azirah Harun, 32, berkata, dia sanggup melupakan sementara waktu buah-buah lain seperti tembikai, pisang, limau kerana jualan binjai lebih lumayan.
Ujarnya yang lebih 10 tahun berniaga, sambutan luar biasa yang diterima daripada penggemar buah hutan itu memberikan rezeki lebih kepada mereka.
Dia berkata, buah binjai yang dijual diperoleh daripada seluruh pelusuk negeri Kelantan bukan hanya dari Machang sahaja.
"Cuma kalau sebut binjai mesti orang ramai akan datang ke sini, ia sudah menjadi tradisi sejak dahulu lagi.
"Saya mampu menjual lebih 1,000 sebiji sehari, boleh dikatakan pembeli datang dari merata tempat dan ada dalam kalangan mereka yang muncul setahun sekali," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!