Pusat kecemerlangan bangunkan industri sukan negara
KERAJAAN akan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Industri Sukan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi (IPT) terpilih bagi membangunkan industri sukan negara.
Menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi pada Isnin, pusat itu akan bertindak sebagai rujukan dalam menyediakan pengetahuan dan menjalankan penyelidikan dalam pelbagai segmen sukan.
"Pusat ini juga akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam mengenal pasti idea, pengetahuan dan inovasi baharu berkaitan sukan," menurut laporan itu.
Selain itu, laporan berkenaan menyatakan pangkalan data berpusat mengenai industri sukan akan diwujudkan, untuk memudah cara proses membuat keputusan berasaskan maklumat, dalam memajukan pembangunan industri tersebut.
"Pangkalan data ini akan menyediakan maklumat seperti produk sukan, pekerjaan dan perbelanjaan pengguna. Usaha ini akan membolehkan perancangan yang lebih baik dalam membangunkan industri sukan," menurut laporan itu.
Laporan itu turut memaklumkan langkah untuk memperluas rantaian nilai industri sukan seperti pengeluaran produk, perkhidmatan pengurusan acara, kewartawanan dan penyiaran serta kejurulatihan sukan, akan dipergiat dengan mengoptimumkan potensi industri berkenaan.
"Dalam hubungan ini, liga sukan profesional akan diperluas kepada pelbagai jenis sukan. Usaha ini akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, seperti jurulatih, personel perubatan dan pengulas sukan, serta peluang perniagaan kepada usahawan tempatan," menurut laporan itu.
Sementara itu, Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) digalakkan untuk menjana pendapatan serta mengukuhkan hubungan dengan komuniti bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan kerajaan.
Menurut laporan itu, PSK seharusnya meningkatkan profesionalisme pengurusan yang pastinya akan menggalakkan lebih banyak penajaan diterima pihak mereka.
"Sumber kewangan alternatif, termasuk tajaan korporat akan diteroka untuk meningkatkan dana pembangunan sukan.
"Insentif cukai berkaitan sukan akan disemak semula untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta dan komuniti dalam pembangunan sukan, seperti menaja acara sukan dan menyediakan pekerjaan kepada bekas atlet," menurut laporan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!