Perkasa Rukun Negara tangani tiga ‘dosa besar’ sektor pendidikan

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Memperkasakan pemahaman Rukun Negara adalah penyelesaian paling berkesan untuk menangani buli, jenayah seksual dan perkauman yang merupakan tiga ‘dosa besar’ dalam sektor pendidikan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dari aspek buli dan jenayah seksual, solusi dapat ditemukan dengan cara menghayati atau mengamalkan prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

“Prinsip ini bukan sekadar dilafaz di perhimpunan tetapi perlu difahami dan disemai dalam kalangan pendidik, pelajar serta masyarakat setempat.

“Dengan mengamalkan prinsip ini dalam setiap hati individu, masalah buli dan jenayah seksual akan dapat diatasi.

“Masyarakat yang berdisiplin dan berakhlak tinggi akan dapat dibentuk melalui pemahaman prinsip Rukun Negara kelima ini sekaligus dapat mengatasi masalah gejala sosial dalam sektor pendidikan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyenaraikan tiga 'dosa besar' yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak khususnya kumpulan sektor pendidikan.

Tambah Lam Thye, mengenai perkauman, ia boleh ditangani menggunakan prinsip Rukun Negara yang keempat iaitu Kedaulatan Undang-Undang.

“Satu perkara lagi, kita merujuk kepada prinsip yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan yang memperlihatkan bahawa semua agama bebas diamalkan dan dipraktikkan oleh sesiapa sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Meskipun Islam diangkat sebagai agama rasmi, bukanlah satu alasan untuk menjadi radikal dalam satu-satu agama hingga mengecam ajaran agama lain dan membuat kenyataan yang boleh mengganggu gugat keharmonian beragama dalam masyarakat.

“Selagi kita mampu memperkasakan Rukun Negara dalam sektor pendidikan, selagi itulah kita mampu menghadapi apa sahaja ancaman yang cuba menjejaskan negara sekali gus akan dapat mempertingkatkan perpaduan dalam negara ini.” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Fadhlina senaraikan tiga 'dosa besar' bagi KPM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!