Pengusaha restoran di Kelantan resah bekalan telur kritikal
KOTA BHARU - Persatuan Pengusaha Restoran Melayu Kelantan (PERMEKA) resah selepas mendakwa bekalan telur di negeri ini kritikal.
Pengerusinya, Nik Hassan Mohd Zain berkata, situasi itu menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan kos lebih tinggi untuk mendapatkan bekalan bahan mentah itu apabila pembekal tidak dapat menyediakan stok yang diperlukan.
"Kebiasaannya pembekal akan hantar bekalan telur kepada pengusaha-pengusaha restoran tetapi sejak dua, tiga minggu ini kami terpaksa mencari sendiri.
"Kalau ada ia terhad. Kami tidak memperoleh stok sebagaimana yang dikehendaki," katanya yang mewakili lebih 100 pengusaha restoran di negeri ini.
Menurutnya, sebelum ini mereka dihantui isu bekalan gula yang sukar diperolehi sehingga terpaksa menggunakan gula premium.
Ujarnya, masalah itu semakin pulih walaupun tidak sepenuhnya.
Nik Hassan memberitahu, isu gula dan telur antara yang paling menghantui para pengusaha restoran di negeri ini.
"Kami bukan sahaja ditekan dengan kenaikan harga kos barangan sehingga memaksa menaikkan harga makanan.
"Tetapi kami juga terpaksa berdepan dengan kuasa beli yang semakin berkurang apabila orang ramai berkira untuk berbelanja melihat kepada keadaan sekarang," katanya.
Justeru, PERMEKA berharap pihak kerajaan, pembekal dan pengusaha dapat menyelesaikan isu ini secepat mungkin supaya ia tidak terus berlarutan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!