Wartawan dikasari: Polis tunggu laporan JIPS
IPOH - Polis menunggu laporan penuh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sebelum tindakan susulan diambil terhadap pegawai pengiring menteri yang didakwa mengasari wartawan wanita pada kempen politik pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pulai, minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan tatatertib berhubung insiden itu telah dibuka Polis Johor.
"Walau apa pun kita tunggu laporan daripada JIPS dahulu dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut hasil siasatan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun Pasukan Gerakan Udara ke-44 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di sini pada Isnin.
Hadir sama, Komander Pasukan Gerakan Udara, Datuk Noor Sham Md Jani.
Ayob Khan berkata, pihaknya difahamkan kejadian berlaku ketika menteri terbabit sedang berjalan untuk menaiki kenderaan dan pegawai pengiring yang bertugas mahu memastikan laluan berada dalam keadaan selamat.
"Jadi dalam keghairahan pihak media mahu mendapatkan komen (menteri), mungkinlah ada berlaku sedikit kekasaran dan sebagainya.
"Dalam hal ini, kita perlu dengar (keterangan) kedua-dua belah pihak sebelum tindakan lanjut diambil," katanya.
Kelab Media Johor dalam kenyataan sebelum ini mendakwa, beberapa pegawai pengiring telah menghalang pengamal media dengan menyentuh tangan seorang wartawan wanita yang sedang merakam sidang media.
Pegawai pengiring juga didakwa mencubit belakang pinggang seorang lagi wartawan wanita beberapa kali bertujuan untuk menghalangnya melaksanakan tugas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!